PENANTIAN 13 tahun Semakin Hampir Terlerai, Hanya 4 Mata Memisahkan ATM dengan Pentas Elit

PENANTIAN 13 tahun untuk beraksi di pentas elit kini semakin hampir terlerai buat Angkatan Tentera Malaysia dengan hanya empat mata memisahkan mereka daripada trofi domestik pertama mereka dalam Liga Malaysia sejak 1997 dan tiket automatik kenaikan ke Liga Super musim depan.

Dengan saingan Liga Perdana berbaki tiga perlawanan, hanya USM FC (esok), MP Muar (13 Julai) dan Pos Malaysia (16 Julai) menjadi penghalang terhadap impian ATM untuk berdiri sebaris pasukan berstatus ‘bangsawan’ sejak mula menyertai Liga Semi-Pro pada 1989.

Sebelum ini, ATM berbangga dengan kejayaan menjulang Piala FAM lima tahun lalu ketika menewaskan NS Cempaka 3-0 secara agregat selain bergelar naib juara pada 2006 apabila terpaksa akur 0-3 kepada Pasir Gudang United FC.

Di ambang mencipta sejarah sebagai pasukan bersenjata pertama untuk beraksi di divisyen utama selepas penampilan Tentera Udara Diraja Malaysia pada 1988 dalam saingan ala liga Piala Malaysia, pengendali ATM, B Sathianathan mengingatkan pasukannya bahawa tugas mereka masih belum selesai ketika gelaran Liga Perdana kian hampir dalam dakapan mereka.

“ATM sudah lama tidak memenangi sebarang gelaran. Terdapat harapan yang tinggi diletakkan pada pasukan ini.

“Pihak pengurusan melaburkan perbelanjaan besar buat pasukan dengan meletakan sasaran gelaran Liga Perdana. Kami sudah sampai ke tahap pencapaian 70% dan kini kami perlu melengkapkan baki 30%,” tambah Sathia.

Sungguh pun tidak berdepan masalah berdepan USM pada pertembungan sebelumnya yang berakhir dengan kemenangan 4-0 di tempat sendiri, Sathia menjangkakan saingan yang lebih sukar pada kali ini di Pulau Pinang melihatkan kemampuan USM mengikat pencabar terdekat, Pahang 1-1 pada perlawanan sebelum ini menyusul selepas kemenangan 2-0 ke atas finalis Piala FA, Sime Darby.

“USM adalah pasukan yang bagus, mereka adalah pasukan yang bekerja keras. Kami tidak boleh memperkecilkan kemampuan mereka dan saya menjangkakan saingan yang sukar pada kali ini.

“Saya mahukan pemain bukan saja memberikan 100% komitmen tetapi juga menampilkan tahap permainan 100% pada perlawanan ini,” tambah Sathia yang mendedahkan kesemua ahli skuadnya berada pada tahap kecergasan terbaik.

Dengan pesaing terkuat, Pahang yang akan turun berdepan MP Muar di tempat lawan pada hari yang sama, dipisahkan lima mata menyaksikan ATM hanya perlu meraih empat mata untuk mengesahkan kejuaraan dengan syarat minimum perbezaan gol seandainya Pahang memenangi kesemua baki 3 perlawanan mereka.

No Comments

Post A Comment