SKUAD B-23 KEBANGSAAN AKAN BERLATIH DI KOREA SELATAN & CHINA SEBELUM HADAPI KEJUARAAN B-23 AFC 2018

Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee akan melakukan persiapan rapi di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changshu dan Kunshan, China bermula 10 Januari depan.

Program latihan pusat itu telah diperkenan sendiri oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas baginda bertemu dengan Kim Swee dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan di Johor Bahru, Johor, hari ini.

Mengikut perancangan program persiapan skuad B-23 kebangsaan ini, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula pada 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.

Seterusnya, skuad B-23 kebangsaan akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat di sana selama 14 hari sehingga 30 Disember yang merangkumi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa pada 22, 25 dan 28 Disember, salah satunya berkemungkinan bertemu skuad B-23 Korea Selatan.

Kemudian, skuad B-23 kebangsaan akan terus ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari iaitu bertemu salah satu pasukan dari kumpulan lain yang turut akan beraksi pada Kejuaraan B-23 AFC 2018.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Jika skuad B-23 kebangsaan berjaya muncul dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari.

Untuk makluman semua, program latihan pusat luar negara di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China itu dapat direalisasikan dengan adanya hubungan rapat DYAM Tunku Presiden dengan Presiden Persatuan Bolasepak Korea (KFA), Chung Mong Gyu dan juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA), Zhang Jian.

KFA akan menanggung semua kos latihan, penginapan dan makan minum sepanjang dua minggu skuad B-23 kebangsaan berada di Mokpo dan begitu juga yang diberikan CFA sepanjang seminggu kem latihan di Nanjing.

Diharap dengan segala perancangan dan inisiatif yang dilakukan oleh DYAM Tunku Presiden ini, skuad B-23 kebangsaan dapat mempersiapkan diri dengan sempurna dan seterusnya mampu mempamerkan aksi terbaik pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 itu nanti.

No Comments

Post A Comment