Piala Presiden 2018: UITM-KPT Dan Politeknik-KPT Buat Perhitungan Di Final

UITM-KPT dan Politeknik-KPT bakal membuat perhitungan terakhir bagi merebut Piala Presiden 2018 selepas kedua-dua pasukan cemerlang menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

UITM-KPT melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 3-2 sementara Politeknik-KPT beraksi di pentas final selepas mengecewakan Kedah Hockey Team-NI 3-1.

Pemain UITM-KPT, Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful (kanan) meledak gol kedua UITM-KPT cuba untuk dicabar oleh pemain MBI, Muhammad Fahmi Khalid, pada aksi separuh akhir yang memihak kepada UITM-KPT 3-2.

Terdahulu dalam perlawanan yang menemukan UITM-KPT dan MBI menyaksiakn usaha UITM-KPT dan MBI untuk mendapatkan jaringan awal serta menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kedudukan selesa tidak berkesampaian apabila beberapa percubaan yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan gagal untuk mencari penyudahan yang terbaik.

Aksi di suku ketiga menyaksikan UITM-KPT akhirnya berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan selepas pukulan sudut penalti kedua yang dimiliki berjaya untuk diterjemahkan kepada jaringan oleh kapten pasukan, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar pda minit ke-32.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila kealpaan banteng pertahanan UITM-KPT berjaya untuk digunakan sebaiknya oleh Muhamad Hafizal Halmi untuk MBI kembali mengikat kedudukan 1-1.

Minit ke-44 UITM-KPT sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful berjaya untuk mencatat nama selaku penjaring dan satu lagi pukulan sudut penalti yang dihadiahakn kepada UITM-KPT pada minit ke-56 terus dimanafaatkan oleh Muhammad Haikal Abd Mutalib untuk meletakkan UITM-KPT dihadapan 3-1.

MBI bagaimanapun berjaya untuk mengejar UITM-KPT pada minit ke-60 menerusi hasil jaringan pukulan sudut penalti Danial Aizat Ahmad Zubir namun usaha itu tidak mampu untuk menghalang UITM-KPT daripada melangkah ke perlawanan akhir dengan kemenangan 3-2.

Dalam satu lagi aksi yang menemukan Kedah Hockey Team-NI dan Politeknik-KPT menyaksikan Politeknik berjaya untuk melangkah ke perlawanan akhir hasil tiga jaringan gerakan padang yang disumbangkan oleh pemain import mereka.

Kedah Hockey Team-NI terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi, bagaimanapun Politeknik bangkit dengan dua jaringan pada minit ke-27 dan ke-29 menerusi pemain import mereka Choi Jin Young untuk menamatkan aksi separuh masa pertama dengan Politeknik dihadapan 2-1.

Jaringan tunggal pada separuh masa kedua oleh Oh Seyong menerusi gerakan padang pada minit ke-46 memutlakkan kemenangan 3-1 Politeknik untuk melangkah ke perlawanan akhir dan bakal membuat perhitungan dengan UITM-KPT bagi merebut gelaran juara.

Keputusan Separuh Akhir Piala Presiden

UITM-KPT 3 Majlis Bandaraya Ipoh 2
Kedah Hockey Team-NI 1 Politeknik-KPT 3

Piala Presiden
Perlawanan Akhir (24 Februari, Sabtu)

Penentuan 3/4
Majlis Bandaraya Ipoh lwn Kedah Hockey Team-NI, 4 petang

Akhir
UITM-KPT lwn Politeknik-KPT, 6 petang

**Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki nasional Bukit Jalil, Padang 2.

No Comments

Post A Comment