PKS Uniten- KPT Jumpa Blue Warriors di Final Piala Vivian May Soars 2018

Setelah berjaya merangkul gelaran juara dalam Liga Hoki Wanita baru-baru ini, pasukan PKS Uniten- KPT turun garang dalam separuh akhir Piala Vivian May Soars dengan membelasah KL Wipers 11-2 di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tadi, sekaligus menempah tempat di final.

Biarpun perlawanan terpaksa ditangguhkan ketika ia baru sahaja bermula atas faktor cuaca, namun ia bukan masalah buat PKS Uniten- KPT yang mendominasi sepenuhnya perlawanan tersebut.

Pemain Blue Warriors, Norbaini Hashim (depan) mengawal bola daripada dirampas pemain TLHT dalam separuh akhir Piala Vivian May Soars 2018 tadi. Perlawanan berkesudahan Blue Warriors ke final dengan kemenangan 1-0.

Nuraini Abdul Rashid dan Hanis Nadiah Onn masing-masing berjaya menemui tiga jaringan pada separuh masa pertama perlawanan.

Nuraini membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-4. Dia menyempurnakan satu lagi penalti stroke pada minit ke-8 sebelum menghasilkan gol ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

Hatrik di separuh masa pertama oleh Hanis Nadiah Onn pula diperoleh melalui gol padang pada minit ke-13, minit ke-27 dan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Dua lagi gol untuk meletakkan PKS Uniten- KPT berkenduri gol mendahului 8-0 di separuh masa pertama dihasilkan melalui gol padang Fatin Shafika Sukri pada minit ke-18 dan pukulan sudut penalti yang dijaringkan Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-28.

Di babak kedua perlawanan, PKS Uniten- KPT terus garang mencari jaringan dan Fatin Shafika Sukri turut melengkapkan hatriknya melalui dua lagi gol padang pada minit ke-33 dan minit ke-40.

PKS United KPT memperoleh gol ke-11 dalam perlawanan ini selepas pemainnya, Nadia Zamri berjaya menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-43.

KL Wipers bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan apabila menjaringkan dua gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Siti Nur Amirah Azmi pada minit ke-41 dan satu lagi gol padang melalui Hasya Syahida di penghujung babak perlawanan.

Jurulatih PKS Uniten- KPT, Lailin Abu Hassan berkata, “Pemain-pemain begitu tepat menyudahkan peluang malam ini dan kita dapat lihat mereka bermain dengan bersungguh-sungguh untuk selesa melangkah ke final. Pemain seperti Nuraini Rashid nampaknya 80-90 peratus semakin tajam menyempurnakan pukulan sudut penalti dan beberapa pemain lain seperti Hanis Nadiah Onn juga kembali menemui rentak.

“Saya harapkan semua pemain dapat menyerlah seperti separuh akhir tadi apabila turun dalam perlawanan akhir nanti. Saya tidak kisah bertemu mana-mana pasukan sama ada Blue Warriors atau Terengganu Ladies (TLHT), yang penting pemain saya menunjukkan prestasi mereka,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung selepas itu, Blue Warriors dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) bersaing sengit memburu tempat ke final. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Di awal separuh masa kedua perlawanan, kedua-dua pasukan tetap gagal menemui jaringan biarpun sering berbalas serangan.

Apapun, ketika perlawanan dilihat berakhir seri, pemain Blue Warriors, Nuraslinda Saad muncul wira setelah berjaya menolak masuk gol padang pada minit ke-50 menjadikan mereka mendahului 1-0 ketika penjaga gol TLHT, Nur Asma’a Ahmad Kamil gagal menyelamatkan bola.

Kedudukan Blue Warriors di depan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan mereka bakal bertemu PKS Uniten- KPT dalam perlawanan akhir Piala Vivian May Soars.

Keputusan Separuh Akhir Piala Vivian May Soars 2018:

PKS Uniten- KPT 11-2 KL Wipers

Blue Warrios 1-0 Terengganu Ladies (TLHT)

Jadual Perlawanan (2 Februari, Jumaat ini)

Final:

PKS Uniten- KPT lwn Blue Warriors (6.30 petang)

Penentuan ¾:

KL Wipers lwn TLHT (4 petang)

*Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

No Comments

Post A Comment