05 Mar PSAS 2018: Jangan Beri Argentina Pukulan Sudut Penalti – Hairi Rahman
Menjelang perlawanan ketiga, Piala Sultan Azlan Shah 2018 menentang Argentina esok, penjaga gol negara, Mohammad Hairi Abd Rahman menyifatkan pukulan sudut penalti merupakan kelebihan buat seterunya itu dan mahu Malaysian Tigers lebih berhati-hati agar tidak memberikan pukulan sudut penalti kepada mereka pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah Ipoh Perak.
Bagaimanapun Hairi yang ditemui selepas sesi latihan ringan hari ini menyedari pelbagai perkara boleh berlaku ketika perlawanan termasuk memberikan pukulan sudut penalti kepada pihak lawan dan sekiranya itu berlaku pada pertemuan dengan Argentina, kepekaan serta stategi yang baik mampu untuk menyekat pasukan yang berada di ranking kedua dunia itu daripada melakukan jaringan.
“Kita menyedari kelebihan Argentina adalah menerusi pukulan sudut penalti dan beberapa perlawanan sebelum ini mereka mencatatkan kemenangan menerusi pukulan sudut penalti, jadi apa yang perlu kami titik beratkan ialah jangan memberikan Argentina kelebihan tersebut.
“Tetapi dalam perlawanan pelbagai perkara boleh berlaku dan sekiranya mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti, kami perlu membuat persediaan sepenuhnya seperti bagaimana untuk melakukan larian dan sebagai penjaga gol saya perlu peka dengan kelajuan bola mereka untuk menyelamatkan pintu gol,”jelas Hairi.
Selain itu Hairi juga menyedari beberapa kesilapan mudah yang tidak sepatutunya berlaku pada perlawanan menentang Australia semalam perlu diperbaiki segera agar perkara yang sama tidak berulang kerana Argentina pastinya tidak akan melepaskan setiap peluang yang terhidang untuk mereka melakukan jaringan.
“Kami telah menyedari beberapa kesilapan yang telah kami lakukan dalam perlawanan semalam, jadi kami akan mempertingkatkan tahap kepekaan dan bersedia dengan apa sahaja yang datang serta lebih tajam dalam perkara-perkara asas supaya kesilapan mudah tidak akan berlaku.
“Semua menyedari Argentina merupakan pasukan yang berada di ranking kedua dunia dan semestinya mereka tidak akan melepaskan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol dan tugas kami adalah menghalang mereka daripada mendapat peluang-peluang tersebut,” tambah Hairi.
Selepas dua perlawanan Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul tiga mata hasil kemenangan 4-1 menentang Ireland dan tewas 1-3 pada perlawanan menentang Australia semalam serta perlu mencari kemenangan untuk memastikan kedudukan yang lebih baik bagi edisi ke-27 ini.
No Comments