KHM Terima Surat Pembatalan Piala Sultan Azlan Shah 2020 Pagi Ini

KUALA LUMPUR, 02 Mei 2020: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini pada jam 11.18 pagi telah menerima surat rasmi daripada Presiden Persatuan Hoki Perak (PHA), Tuan Haji Saiyuti Bin Samat yang memaklumkan tentang pembatalan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2020.

Keputusan pembatalan tersebut telah dibuat oleh PHA selaku penganjur rasmi Kejohanan selepas mendapat perkenan daripada Istana Perak selain mengambil kira saranan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia serta memikirkan tentang kebaikan semua rakyat di Malaysia terutamanya di negeri Perak ekoran kini penularan wabak Covid-19 dan KHM menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

KHM juga dengan rasminya akan memaklumkan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) serta Persekutuan Hoki Asia (AHF) menegenai keputusan tersebut dan akan mengadakan satu perbincangan bersama PHA bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk kejohanan tersebut dilangsungkan pada tahun hadapan selain Presiden KHM, Dato Sri’ Subahan Kamal turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden PHA atas semua kerjasama yang telah diberikan oleh beliau.

Bagaimanapun KHM masih optimis kejohanan-kejohanan besar yang lain seperti Piala Remaja Asia Lelaki dan Wanita, yang juga merupakan perlawanan kelayakan Piala Dunia Remaja Lelaki dan Wanita serta Piala Juara-Juara Asia Lelaki dan Wanita yang ditangguhkan sebelum ini akan dilangsungkan pada tahun ini juga.

KHM akan berkomunikasi secara terus dengan pihak AHF bagi mendapatkan pengesahan mengenai status kejohanan-kejohanan tersebut selain pemain akan meneruskan sesi persiapan seperti biasa selepas mendapat kebenaran daripada YB Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sehingga kini semua pemain hoki kebangsaan masih meneruskan sesi latihan secara gigih di rumah masing-masing semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. KHM turut menyarankan agar pecinta serta peminat sukan hoki di Malaysia untuk tidak gusar akan penangguhan atau pembatalan sebarang kejohanan yang melibatkan pasukan kebangsaan pada tahun ini.

Ini kerana kejohanan tempatan seperti TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2020, Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah-16 Lelaki dan Perempuan serta Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah-14 Lelaki dan Perempuan akan diteruskan seperti biasa selepas KHM mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk melangsungkannya.

Perancangan awal serta tarikh kejohanan-kejohanan tersebut dijangka berlangsung akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM dan ianya akan dipanjangkan kepada Ahli Lembaga Eksekutif KHM untuk mendapatkan kelulusan sebelum dimaklumkan kepada umum.

No Comments

Post A Comment