MERAIKAN SEDEKAD PENGANJURAN MCKK PREMIER 7s

KUALA LUMPUR (11 FEBRUARI 2020): Edisi ke-10 Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Premier the Malay College Kuala Kangsar (MCKK), yang terkenal dengan nama Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s, bakal kembali dengan edisi ke-10 menyaksikan 24 pasukan ragbi sekolah menengah utama tempatan dan luar negara bertarung untuk merebut piala berprestij yang dikenali sebagai Trofi NJ Ryan.

 

Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s kali ini dijadual berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac ini di Kuala Kangsar, Perak. Kejohanan ini terus menerima sambutan hangat apabila 21 pasukan ragbi tempatan, mewakili semua negeri-negeri di Malaysia, dan tiga pasukan dari luar negara mengesahkan penyertaan untuk edisi ke-10 ini. Penglibatan 3 pasukan dari tiga negara Asean ini, iaitu Kolej Vajiravudh dari Thailand, Sekolah Antarabangsa Jerudong, Brunei dan wakil Indonesia, Sekolah Menengah Atas Darunnajah sudah pasti menambah kemeriahan kejohanan ragbi edisi tahun ini disamping memberi saingan kompetitif kepada 21 pasukan tempatan.

 

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang hadir di Sidang Media Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s hari ini turut memuji penganjuran Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s yang kini dikenali sebagai antara pertandingan terbaik ragbi 7 sebelah peringkat sekolah menengah Malaysia yang telah berjaya di dalam mencari mencungkil bakat-bakat baru sukan ragbi Negara. 

 

Shahrul berkata, “Sudah pasti edisi yang ke-10 ini sangat istimewa. Ditambah pula dengan kehadiran pasukan serantau yang pasti akan memeriahkan suasana pada hari kejohanan. Saya yakin setiap pasukan akan lebih berkobar-kobar untuk muncul juara pada tahun ini. Pertandingan seperti ini telah membantu melahirkan ramai pemain ragbi sekaligus menambah kelompok pemain untuk skuad pembangunan ragbi negara.”

 

Dalam pada itu, YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua The Malay College Kuala Kangsar (MCOBA) pula amat teruja dengan penganjuran Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s kali ini. “Saya begitu teruja dengan penganjuran Kejohanan edisi ke-10 ini. Terbukti bahawa kejohanan ragbi MCKK ini mampu menarik minat pasukan-pasukan dari luar negara kerana pada tahun ini peningkatan penyertaan pasukan luar negara amat memberangsangkan dan bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.”

 

“Ini membuktikan sukan ragbi di negara ini semakin bergerak ke hadapan dan tentulah kita mengharapkan sukan ini terus berkembang serta membanggakan negara pada masa akan datang. Oleh itu, kejohanan seperti MCKK Premier 7s diharapkan menjadi salah satu platform penting bagi memastikan pemain-pemain muda berbakat mendapat ilmu berguna semasa di peringkat sekolah lagi” kata YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.

 

“Saya juga berterima kasih kepada barisan penaja yang terus bersama MCKK Premier 7s bagimembantu memartabatkan lagi sukan ragbi dan mengharapkan sokongan berterusan agar kita boleh melihat sukan ragbi mencipta nama di peringkat dunia. Bukan itu sahaja malahan sukan ragbi juga mampu mendidik anak-anak muda untuk mempunyai karakter yang berani dan terus kekal aktif,” tambah YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.

 

Bakal berlangsung di Padang Ragbi, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Perak, pasukan tempatan yang dijangka bersaing untuk merampas Kejuaraan Kejohanan yang kini dipegang Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) ialah termasuk Maktab Tentera Diraja (MTD / RMC) dan Victoria Institution dari Kuala Lumpur, Maktab Sultan Abu Bakar [English College] Johor Bharu, SEkolah Sultan Alam Shah Putrajaya dan juga mantan-mantan pemenang Kejuaraan Kejohanan seperti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), SMK Sri Mersing dan tuan rumah MCKK.

 

Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s ini turut mendapat perkenan di bawah DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah. Baginda juga amat mencintai sukan ragbi dan merupakan Penaung Diraja Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

 

Untuk rekod, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) muncul juara pada edisi lalu apabila menundukkan pasukan tuan rumah pada perlawanan akhir dengan 24-10. SSTMI telah merangkul gelaran Kejohanan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2011, 2012, 2016 dan 2017, manakala pemenang lain ialah MCKK (2013), Scots College New Zealand (2014), Sekolah Sukan Hong Kong (2015) dan SMK Sri Mersing (2018).

No Comments

Post A Comment