AKADEMI JDT DIJEMPUT KE FORUM ANTARABANGSA ‘COACH FOOTBALL MOTION’

Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menerima jemputan daripada Coach Football Motion untuk menyertai Forum Antarabangsa Coach Football Motion yang akan menghimpunkan para jurulatih kelab dan pasukan-pasukan kebangsaan terbaik di serata dunia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman masing-masing dalam industri bola sepak.

Forum yang bertujuan untuk membantu latihan berterusan para jurulatih dalam dunia bola sepak bermula dari akar umbi hingga ke peringkat elit ini akan diadakan secara maya pada 1 Oktober 2020.

Menurut perkongsian surat yang dihantar oleh penganjur kepada Johor Darul Ta’zim, pihak Coach Football Motion menulis, “Kami maklum bahawa anda telah menjadi tempat rujukan di kalangan jurulatih-jurulatih utama dan kami ingin menjemput anda sebagai jurucakap,” berdasarkan surat jemputan dari penganjur yang berpusat di Valencia.

Johor Darul Ta’zim akan diwakili oleh Pengarah Bersama Akademi Bolasepak JDT yang juga merupakan jurulatih bagi skuad bawah-21 tahun Harimau Selatan itu.

“Kami ingin menjemput Jovi Carrascosa yang merupakan jurulatih skuad B-21 untuk menyertai forum ini dan membentangkan hasil tugasan yang telah anda lakukan di akademi, sekaligus menjadi antara yang terpenting di Malaysia dan salah satu akademi latihan terbaik di dunia.

“Ini adalah merupakan satu penghormatan kepada kami untuk menjemput anda menyertai forum antarabangsa ini untuk anda menunjukkan pada dunia bola sepak mengenai tugasan hebat yang anda lakukan setiap hari.”

Antara kelab dan pasukan-pasukan kebangsaan yang akan turut serta termasuk PSG, Atletico Madrid, AS Roma, PSV, Valencia CF, River Plate, Olympique de Lyon, Brazil, Sepanyol, Argentina dan England.

No Comments

Post A Comment