15 Mar MESA serius martabat sukan papan selaju
Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) mahu mengatur lebih banyak pelan dan program untuk terus menggalakkan pembangunan serta menarik penyertaan golongan remaja bagi melibatkan diri terutamanya dalam sukan papan selaju.
Presidennya, Tan Sri Dato’ Seri Darshan Singh Gill berkata persatuan itu sentiasa mengambil berat kepada sukan ekstrem, tambahan pula sukan papan selaju adalah antara sukan ekstrem yang tersenarai dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia serta juga temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti.
Dia berkata, “Kita akan mengatur pelbagai program dan pelan dari semasa ke semasa untuk menambahkan lagi minat sukan ekstrem, khasnya papan sejalu terhadap golongan remaja kerana kita boleh lihat, sukan ini mendapat tumpuan remaja masa kini.
“Untuk sekarang, saya yakin dengan atlet-atlet papan selaju yang kita miliki. Melalui latihan dan pemantauan di bawah jurulatih MESA, Mohd Zamri Ramli, ia akan membantu memantapkan lagi aksi mereka. Saya yakin mereka mampu menyerlah satu hari nanti dan tidak mustahil sekiranya mereka juga mampu menjadi penyumbang pingat kepada negara,” katanya.
Untuk masa terdekat ini, MESA dengan kerjasama beberapa jenama terkenal dalam sukan papan selaju akan membawa atlet-atlet papan selaju terhebat dunia ke negara ini. Menurut Darshan Singh, kehadiran atlet-atlet itu akan membawa impak positif terhadap sukan papan selaju.
Darshan berkata, “Kita akan adakan satu program yang dinamakan sebagai Angka Tour 2018 melibatkan atlet-atlet papan selaju hebat dunia seperti Arto Saari yang pernah dianugerahkan sebagai “skater of the year 2001” oleh Majalah Thrasher. Selain Arto, atlet papan selaju lain yang turut bersama nanti adalah Jack Curtin, Davis Torgeson, Margie Didal, Tom Karangelov, dan Jasper Dohrs. Kita harap kehadiran mereka akan menarik minat remaja ke dalam sukan ini kerana mereka adalah ibarat Cristiano Ronaldo dalam bola sepak.
“Mereka bakal berada untuk tempoh hampir seminggu di negara kita untuk Angka Tour 2018 nanti dan saya harap atlet-atlet daripada sukan ini akan memperoleh sesuatu yang bermanfaat daripada mereka selain terus menanam minat remaja lain dalam sukan papan selaju,”tambahnya.
Angka Tour 2018 akan diadakan di negara ini pada 23-25 Mac ini melibatkan beberapa tempat terutamanya di Lembah Klang seperti Mont Kiara Park, PCP Purtajaya, Arena PJ dan khasnya di Dataran DBKL. Jelajah ini turut akan ke Ipoh untuk acara yang dirancang di sana dalam Angka Tour nanti.
Selain daripada sukan papan selaju, MESA turut berkata bahawa mereka akan terus berusaha meningkatkan kualiti sukan esktrem lain seperti sukan berbasikal BMX Stunt dan juga Aggressive Inline menerusi pelan dan program yang dirangka dari semasa ke semasa.
No Comments