16 Mar FAM Masih Memerlukan Tunku Ismail Sebagai Nahkoda
Tindakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan mengenai hasrat untuk meletak jawatan dalam Facebook rasmi FAM adalah sesuatu yang begitu mengejutkan dan betul-betul di luar jangkaan ketika semua pihak termasuklah barisan Ahli Jawatankuasa (EXCO) FAM sendiri begitu memerlukan Tunku sebagai Presiden FAM.
FAM masih memerlukan Tunku Ismail memandangkan kita ibarat helaian buku yang baru sahaja dibuka kulitnya. Ini bermakna perjalanan FAM di bawah kepimpinan Tunku Ismail baru sahaja bermula dan pembaharuan dalam FAM juga masih di peringkat awal, belum sampai ke titik untuk Tunku Presiden meletakkan jawatan baginda.
Biarpun hanya hampir setahun menduduki kerusi selaku Presiden FAM, kita sebenarnya sudah nampak hasil dan usaha yang dilakukan oleh Tunku Ismail di mana buat julung kalinya semua pasukan dalam Liga Malaysia diberikan RM1juta hingga RM3juta wang hak penyiaran. Ini menunjukkan usaha Tunku Ismail dalam membantu mengukuhkan kedudukan kewangan di mana ianya merupakan nadi penting untuk semua pasukan terus bergerak ke hadapan kerana memiliki dana yang cukup.
Baru-baru ini, krisis melibatkan FAM dan ViOn juga berjaya diselesaikan oleh Tunku Ismail. Saman yang hendak disaman oleh ViOn yang pada awalnya berjumlah RM6.7 juta berjaya dikurangkan kepada RM1.44 juta selepas perbincangan kelab bola sepak tersebut dan Tunku Ismail sendiri.
Sebenarnya, ramai yang tidak tahu mengenai satu lagi perkara di mana Tunku Ismail telah mengeluarkan dana baginda sendiri sebanyak RM8juta bagi membantu kewangan FAM yang begitu goyah ketika baginda mula-mula memegang tampuk pimpinan. Selain itu, baginda juga mengeluarkan wang baginda sendiri untuk memberikan bonus kepada pasukan kebangsaan misalnya ketika pasukan B-23 menghadapi Sukan SEA yang lalu dan beberapa pasukan belia kebangsaan yang mengharumkan nama Malaysia.
Kerjasama baik antara Tunku Ismail dan LA Liga juga telah memberikan ruang kepada jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee serta pembantunya, Brad Maloney untuk menimba ilmu di Atletico Madrid, Sepanyol. Ini adalah sesuatu yang bukan mudah untuk diperoleh dan sudah tentulah ia merupakan peluang terbaik bagi menimba ilmu demi masa depan skuad muda negara.
Di samping itu, pelantikan Datuk Ong Kim Swee selaku Ketua Unit Belia FAM yang akan bekerjasama dengan Pengarah Teknikal, Peter Dee Roo turut membuktikan Tunku Ismail begitu mementingkan perancangan awal untuk pemain menyesuaikan diri dengan sistem permainan sejak di peringkat akar umbi.
Mengenai isu kejatuhan ranking FIFA pula, semua pihak perlu faham bukan kerja senang untuk menaikkan ranking negara dalam tempoh masa yang singkat. Tunku Ismail dan barisan EXCO FAM sendiri sentiasa membincangkan mengenai perlawanan pasukan kebangsaan untuk meningkatkan semula ranking.
Negara India yang dilihat meningkat naik dalam ranking dunia FIFA juga memerlukan masa lebih kurang tiga tahun untuk mencapai matlamat mereka berada di ranking ke-99 dunia ketika ini.
Oleh itu, kita perlu faham dengan situasi yang sedang dilalui oleh FAM semasa ia diambil alih oleh Tunku Ismail. FAM ibarat melalui tempoh “dalam pembaikan” dan semua pihak harus faham adalah sukar untuk memperbetulkan segalanya dalam tempoh masa yang singkat.
Perkara yang dilakukan oleh Tunku Ismail ketika ini adalah sudah tepat kerana baginda berusaha keras menstabilkan FAM dan semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia terlebih dahulu menerusi kewangan serta penajaan. Tiada siapa tahu, mungkin langkah lain pula akan menyusul selepas semuanya sudah kembali stabil selepas ini. Namun sekiranya Tunku Ismail berundur diri sekarang, sudah tentu ianya adalah satu berita sedih kepada bola sepak negara.
Jadi perkara yang paling penting ketika ini adalah semua pihak daripada penyokong hinggalah pemain perlu memiliki mentaliti juara dan sentiasa berdiri di belakang DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Mentaliti juara sahaja yang mampu mengubah bola sepak kita.
Untuk itu, saya selaku EXCO FAM dan peminat bola sepak negara merayu agar Tunku Ismail menarik balik hasrat untuk meletak jawatan. Hanya Tunku Ismail sahaja yang paling layak berada di atas kerusi Presiden FAM ketika ini dan baginda sahaja mampu merealisasikan impian kita semua untuk melihat perubahan bola sepak di negara ini. Teruskanlah memimpin FAM ke satu era yang lebih cemerlang.
No Comments