Kumar Kembali Ke Pangkuan Malaysian Tigers

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini berkongsi khabar gembira susulan penjaga gol utama negara, S. Kumar yang sebelum ini digantung ekoran gagal ujian doping ketika beraksi di Piala Asia, Dhaka Bangladesh, Oktober lalu bakal kembali menjalani latihan bersama skuad negara selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan hukuman pengantungan selama enam bulan dijatuhkan keatasnya ekoran kegagalan ujian doping apabila sampel air kencingnya didapati mengandungi sibutramine, salah satu bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Tempoh penggantungan enam bulan dikenakan ke atas Kumar selepas FIH mendapati bahan terlarang tersebut bukan diambil secara sengaja selain mengambil kira kerjasama baik yang diberikan oleh Kumar dan KHM, rekod baiknya membantu skuad kebangsaan, lulus 10 ujian doping sebelum ini serta segala bukti lengkap yang telah dikemukakan bagi membantu siastan.

S. Kumar yang ditemubual oleh media melahirkan rasa syukur selepas boleh kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan seperti biasa.

Oleh yang demikian, FIH mengambil keputusan untuk tidak memanggil Kumar bagi sesi pendengaran dan hukuman dijatuhkan serta merta dimana hukuman tersebut telah berkuat kuasa daripada tarikh sempel air kencingnya diambil iaitu pada 16 Oktober 2017 dan telah tamat pada 15 April 2018.

Penjaga gol negara, S. Kumar melahirkan rasa bersyukur atas keputusan yang telah dikeluarkan oleh FIH serta gembira dapat kembali bersama skuad negara dan bertekad untuk membantu Malaysian Tigers di dua kejohanan besar iaitu Sukan Asia dan Piala Dunia 2018.

“Saya bersyukur kerana semuanya telah berakhir dan saya sememangnya mengharapkan keputusan yang terbaik untuk kes ini supaya saya boleh kembali bersama skuad negara untuk menabur khidmat terutamanya di kejohanan Sukan Asia di mana semua tahu Sukan Asia menewarkan tiket ke Sukan Olimpik 2020 dan juga Piala Dunia hujung tahun ini.

“Apabila saya mendapat keputusan bahawa saya sudah boleh kembali bersama skuad negara, saya sangat gembira kerana sebelum ini juga saya mengharapkan ini keputusan yang akan keluar kerana semasa sesi siasatan dijalankan dalam beberapa bulan saya menerima maklum balas yang baik daripada FIH.

“Bukan senang untuk atlet terlepas daripada sesi pendengaran dan terus mendapat keputusan. Apabila saya menerima keputusan yang memihak kepada saya, saya gembira dan bersedia untuk kembali menjalani latihan,” jelasnya yang ditemui selepas sidang media yang berlangsung di KHM hari ini.

Dalam pada itu, Kumar juga yakin sekiranya dia menjalani latihan penjaga gol sepenuhnya bersama pasukan dalam tempoh masa dua minggu, dia akan kembali mendapat rentak dan keserasian selain menganggap pengalaman yang dimiliki juga mampu untuk membantunya.

“Walaupun saya tidak menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, tetapi saya mengambil pendekatan melakukan latihan sendiri di gym dan juga melakukan latihan fizikal, namun saya kekurangan latihan dari segi penjaga gol.

“Bagaimanapun saya memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk melakukan latihan penuh penjaga gol untuk saya kembali mendapatkan rentak selain menggunakan pengalaman yang saya miliki.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi jika saya kembali menjalani latihan bersama pasukan dalam tempoh masa dua minggu, saya akan kembali mendapat rentak sebagai penjaga gol dan mencabar kembali kedudukan dalam skuad kebangsaan,” jelas Kumar lagi.

Untuk rekod, Kumar terlepas dua kejohanan tahun ini iaitu Piala Sultan Azlan Shah pada Mac lalu dan Sukan Komanwel Gold Coast kerana menjalani penggantungan.

No Comments

Post A Comment