Empat Pemain Kebangsaan Wanita Bakal Beraksi Di Liga Eropah

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menerusi satu sidang media yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil mengesahkan empat pemain bakal berkelana di bumi Eropah untuk tempoh satu hingga dua bulan sebagai pemain import di Liga Itali dan Liga Jerman.

Empat pemain tersebut ialah Nuraini Abd Rashid dan Fatin Shafika Md Shukri yang bakal beraksi bersama Butterfly Roma Hockey Club di Rome Itali sementara Hanis Nadia Onn dan Wan Norfaiezah Md Saiuti akan bersama Sportverein Zehlendorfer Wespen 1911 e.V yang akan bersaing bagi liga divisyen satu di Jerman.

Mereka bakal terbang menyertai pasukan masing-masing sejurus tamat kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang di mana bagi Liga Itali, Nuraini dan Fatin Shafika akan menyertai kelab mereka bermula 3 September hingga 12 November 2018 sementara Hanis Nadia dan Wan Norfaiezah akan bersama pasukan mereka dari 1 September hingga 31 Oktober 2018.

Presiden KHM, Dato Sri Subahan Kamal mengesahkan perkara tersebut dan turut berkongsi bahawa tiga lagi pemain wanita kini dalam proses untuk beraksi di Liga Scotland selain KHM menegaskan tidak akan menghalang pemain untuk beraksi di luar kerana ia dilihat sebagai medium terbaik untuk pemain mengutip pengalaman serta membantu untuk membina perwatakan mereka menjadi pemain yang lebih baik.

“Kami akan menghantar empat pemain untuk beraksi di Liga Eropah di mana dua akan beraksi di Liga Itali dan dua lagi di Liga Jerman dan kami telah memberikan kebenaran serta tiada sebarang halangan selain daripada jurulatih juga mahu mereka ke sana, pemain sendiri berminat untuk menyertai pasukan-pasukan tersebut.

“Ada tiga lagi pemain yang menarik perhatian kelab di Scotland dan kini dalam proses untuk mereka juga beraksi di luar dan jika segalanya berjalan lancar mereka akan ke sana dan ini yang kami mahukan iaitu menghantar seberapa ramai pemain untuk beraksi di liga luar sama ada wanita mahupun lelaki agar mereka dapat mengutip seberapa banyak pengalaman.

“Saya juga melihat ia sebagai salah satu cara untuk membentuk perwatakan mereka kerana jika hanya beraksi di dalam negara, mereka dilihat hanya jaguh kampung tetapi apabila mereka beraksi di luar, mereka akan belajar untuk berdikari dan saya berharap apabila mereka kembali mereka akan mempunyai satu pemikiran yang lebih segar dan menjadi pemain yang lebih baik,” ujar Dato Sri Subahan.

Dalam perkembangan yang sama, pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menjelaskan pemain yang akan ke Liga Eropah kali ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab yang ingin mendapatkan mereka dan berbeza dengan sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) membantu untuk menguruskan pemain dan ia dilihat lebih kepada program untuk memberikan pendedahan kepada pemain beraksi di luar.

“Ini merupakan kali pertama pemain wanita akan beraksi di Liga Jerman dan sebelum ini dua pemain iaitu Fazilla Sylvester Silin dan Siti Noor Amarina Ruhani pernah beraksi di Liga Sepanyol dan ketika itu MSN menguruskan semuanya selain ia dilihat lebih kepada program untuk menghantar pemain beraksi di liga luar.

“Berbeza dengan kali ini semua perbelanjaan dan pengurusan untuk keempat-empat pemain adalah ditanggung sepenuhnya oleh kelab dan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya keatas pemain sepanjang disana dan untuk Liga Jerman pemain akan beraksi di liga divisyen satu (Bundesliga),” jelas Dharmaraj.

Sementara itu bekas pemain kebangsaan S. Selvaraju yang juga merupakan individu yang bertanggungjawab untuk membuka laluan kepada empat pemain tersebut beraksi di Liga Eropah berkongsi bagaimana kejayaannya beraksi bersama beberapa kelab di luar membuka mata mereka untuk mendapatkan kidmat pemain dari Malaysia dan mahu peluang yang dimiliki oleh pemain tersebut digunakan sebaiknya dengan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu pasukan yang mereka wakili.

“Saya sendiri pernah beraksi di luar dengan beberapa kelab dan apa yang saya belajar ialah bagaimana untuk mencabar diri menyesuaikan dengan keadaan dan memahami cara pemain luar beraksi kerana setiap negara mempunyai corak permainan yang berbeza.

“Selepas kelab-kelab di luar menyaksikan sendiri bagaimana saya berjaya untuk memberikan komitmen yang cemerlang mereka mula berminat untuk mendapatkan khidmat pemain dari Malaysia dan kita juga sebenarnya mempunyai ramai pemain yang cukup berbakat yang boleh beraksi di liga luar.

“Apa yang saya harapkan pemain yang mendapat peluang beraksi di luar akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan mereka serta menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya untuk belajar sesuatu dan mereka perlu buktikan mereka kesana adalah untuk bermain hoki, menimba ilmu serta mencari pengalaman seberapa banyak yang boleh dan bukannya untuk pergi bercuti atau mengambila gambar untuk diletakkan di dalam media sosial,” kata Selvaraju.

No Comments

Post A Comment