Sukan Asia 2018: Dharmaraj Gembira Pemain Lepasi Halangan Pertama

Skuad hoki wanita negara berjaya mendapat suntikan moral dalam kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang selepas memastikan tiga mata pertama menjadi milik mereka apabila cemerlang membenam cabaran Hong Kong China 8-0 pada aksi yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, Indonesia, hari ini.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah nyata gembira dengan kemenangan yang diraih kerana baginya perlawanan pertama sentiasa menjadi perlawanan yang sukar buat skuad bimbingannya.

Bagaimanapun dia menyatakan ada kekurangan yang perlu diperbaiki seperti anak-anak buahnya dilihat bermula dengan agak perlahan pada aksi separuh masa pertama.

“Saya gembira apabila memulakan saingan dengan kemenangan kerana kebiasaannya perlawanan pertama akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami.

“Untuk aksi hari ini apa yang saya boleh katakan kami bermula dengan agak perlahan selain lambat untuk menyesuaikan diri dengan permainan pada separuh masa pertama walaupun kami berjaya mendahului dengan dua gol.

“Tetapi pemain cemerlang bangkit pada separuh masa kedua dengan menjaringkan enam gol dan saya tidak menjangkakan yang kami boleh menambah jaringan lebih daripada lima pada separuh masa kedua kerana seperti yang saya katakan aksi di separuh masa pertama kami lambat untuk sesuaikan diri dengan perlawanan,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Lapan jaringan negara dihasilkan menerusi hatrik daripada Nuraini Abd Rashid yang meledak dua pukulan stroke dan satu pukulan sudut penalti selain Nur Amirah Shakirah Zulkifli turut cemerlang dalam aksi pembukaan apabila menyumbang dua jairngan padang sementara tiga lagi gol adalah menerusi jaringan padang yang diledak oleh Hanis Nadia Onn, Fazilla Sylvester Silin serta Norazlin Sumantri.

Ditanya mengenai rehat tiga hari yang dimiliki sebelum turun bertemu China, Dharmaraj mahu memanafaatkan tempoh tersebut untuk melakukan segala persediaan bagi menghadapi pasukan yang berada di ranking ke-11 dunia itu.

“Kami mempunyai tiga hari untuk melakukan persediaan sebelum bertemu China dan tiga hari rehat tersebut akan digunakan dengan sebaiknya sebelum kami turun untuk perlawanan kedua,” tambahnya.

Malaysian Tigress akan turun untuk perlawanan kedua pada Khamis, 23 Ogos 2018 jam 7 malam waktu Malaysia bertemu China.

No Comments

Post A Comment