Sukan Asia 2018: Petanda Baik Kami Jaringkan Gol Sama Dengan Jepun Dan Lebih Daripada China — Dharmaraj

Pengendali Malaysian Tigress nyata berpuas hati apabila anak-anak didiknya berjaya untuk meledak 11 gol dalam pertemuan dengan Chinese Taipei bagi aksi ketiga Kumpulan A, Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, hari ini di mana jaringan tersebut menyamai jumlah jaringan pasukan Jepun ketika bertemu lawan yang sama serta melebihi pasukan China.

Bagaimanapun Dharmaraj mengakui situasi penyudahan pukulan sudut penalti tidak menjadi sering berlaku kepada pasukan bimbingannya ketika bertemu lawan yang lebih mudah dan melihat pemain sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol terutamanya menerusi pukulan sudut penalti apabila 19 pukulan sudut penalti yang diperolehi hanya empat daripadanya diterjemahkan kepada jaringan.

Skuad wanita negara menjaringkan satu pukulan stroke dan enam jaringan padang selain empat pukulan sudut penalti kini mengumpul tujuh mata dan telah menjaringkan 21 gol selain bolos dua untuk tiga perlawanan yang telah dilalui.

“Untuk perlawanan yang menemukan kami dengan lawan yang mudah sebolehnya kami perlu menggunakan kesempatan untuk menjaringkan gol yang lebih menerusi pukulan sudut penalti, tetapi situasi seperti pukulan sudut penalti yang kurang menjadi sering berlaku kepada kami untuk aksi begini.

“Kami sering berdepan dengan masalah seperti tumpul untuk menjaringkan gol tetapi saya melihat pertemuan dengan Chinese Taipei kami menjaringkan 11 gol dan kalau dilihat kembali, China menjaringkan sembilan gol selain Jepun menjaringkan 11 gol.

“Saya merasakan ia sebenarnya satu petanda yang baik apabila kami boleh menjaringkan gol lebih daripada China dan menyamai Jepun,” katanya.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai perancangan bagi memastikan pasukan negara layak beraksi di separuh akhir, Dharmaraj lebih memilih untuk tunggu dan lihat keputusan yang diraih oleh China hari ini dan juga perlawanna terakhir nanti kerana skuad negara yang bakal menjadi pasukan terakhir beraksi pada Isnin, akan memikirkan jalan yang terbaik untuk mereka layak ke separuh akhir selepas mengetahui situasi pasukan China.

“Untuk penentuan slot ke separuh akhir, apa yang penting untuk kami adalah tunggu dan lihat keputusan penuh antara China bertemu Jepun dan juga aksi China dengan Hong Kong.

“Kami merupakan pasukan terakhir yang akan turun beraksi jadi selepas mengetahui kedua-dua keputusan, kami akan dapat melihat situasi apa yang perlu kami lakukan untuk pertemuan dengan Jepun adakah kami perlu menewaskan Jepun atau keputusan seri sudah memadai untuk kami layak ke separuh akhir,” jelas Dharmaraj.

Skuad wanita negara akan turun untuk aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Jepun pada Isnin, 27 Ogos jam 9.00 malam waktu Malaysia dan pertemuan tersebut juga bakal menetukan adakah mereka layak ke separuh akhir atau sebaliknya.

No Comments

Post A Comment