18 Sep AFC02: Ilmu Buakaw Jadi Senjata Azwan Che Wil
KUALA LUMPUR (17 September 2018): Pengalaman berguru bersama jaguh
dari Thailand, Buakaw Benchamek menjadi motivasi buat petinju negara, Azwan Che Wil yang bakal menghadapi tugas getir berdepan juara Filipina, Ryan Jakiri dalam Asia Fighting Championship (AFC) pada 21 September ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Petinju berasal dari Kuala Krai itu berkata peluangnya berlatih dengan Buakaw sentiasa menjadi semangat buat dirinya setiap kali turun menghadapi pertarungan sampai ke hari ini.
“Saya berpeluang berlatih dengan Buakaw pada dua tahun lepas. Semasa itu saya mempunyai kejohanan Muay Thai di Bangkok. Jadi sebelum beraksi di kejohanan itu, saya mempunyai kesempatan untuk berlatih bersamanya. Bayangkan, depan mata saya sendiri, saya melihat bagaimana aksi seorang idola saya dalam sukan ini.
“Lebih kurang seminggu berlatih dengannya, setiap hari boleh belajar bagaimana jaguh Muay Thai itu menumbuk dan menyepak dengan deras. Pengalaman itu adalah sesuatu yang sangat bermakna buat saya dan berharap menjadi kunci untuk menghadapi kejohanan besar dalam AFC nanti,” kata Azwan.
Azwan Che yang bakal bertarung dalam kategori 65kg mengharapkan akan memperoleh kemenangan dalam penyertaan sulungnya dalam AFC biarpun sedar bakal berhadapan tugas mencabar.
Dia berkata, “Saya sangat teruja sebenarnya kerana ini kali pertama mewakili negara beraksi dalam kejohanan ini (Asia Fighting Championship). Walaupun akan menentang lawan yang merupakan juara Filipina, Ryan Jakiri tapi saya mengharapkan mampu mengecapi kemenangan pertama dari AFC.
“Saya mengharapkan pengalaman beraksi di beberapa buah negara sebelum ini seperti di Sweden, Hong Kong dan sebagainya akan turut membantu menghadapi kejohanan besar ini. Di samping itu, saya pastinya mengharapkan sokongan padu penyokong di halaman sendiri,”kata petinju berusia 23 tahun itu.
Sebanyak sebelas pasangan petinju handalan akan bertarung dalam AFC edisi kedua yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) nanti.
Bagi petinju negara, selain daripada Azwan Che, empat lagi petinju yang bakal beraksi adalah Ali Bin Yaakub, Mohd Amirul Ariffin, Izham Red Army dan Mohd Fazzatkie Mohd Zaki.
Tiket untuk menyaksikan pertarungan AFC ini boleh didapati secara atas talian di www.myticket.asia pada harga RM50 hingga RM150. Terdapat juga tempat duduk VIP yang boleh memuatkan sehingga 10 orang sekiranya ada yang mahu menonton pertarungan ini secara lebih eksklusif.
Untuk sebarang info atau maklumat berkenaan, lawati Facebook rasmi AFC di http://facebook.com/asiafightingchampionship ataupun anda boleh melayari website rasmi pertarungan ini di http://asiafightingchampionship.com.
No Comments