Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Malaysian Tigers Buka Kempen Dengan Langkah Kiri

Malaysian Tigers memulakan kempen Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 bertemu dengan tuan rumah, Australia yang juga merupakan pasukan berkedudukan di ranking pertama dunia dengan kekalahan 2-5 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Marrara, Australia, hari ini.

Walaupun terpaksa menerima kekalahan pada aksi pembukaan, tetapi skuad negara wajar diberikan pujian di atas dua dol yang diledak pada separuh masa pertama dan kedua menerusi gol padang Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-18 dan jaringan Muhammad Firhan Ashari yang berpunca daripada gerakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

Bagi pengendali Malaysian Tigers untuk kejohanan ini, Muhammad Amin Rahim, beliau memuji aksi pemain yang berjaya meledak dua gol selain memiliki beberapa peluang untuk mengegar pintu lawan walaupun melihat ada beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki oleh barisan pemainnya.

“Secara keseluruhan kami bermain dengan agak baik dengan mengambil kira lawan yang kami berdepan hari ini adalah pasukan di ranking pertama dunia.

“Selain meledak dua gol, pemain juga memiliki beberapa percubaan terbaik menuju ke gawang lawan namun saya melihat mereka perlu lebih bijak untuk membuat keputusan ketika situasi yang membolehkan mereka menghasilkan jaringan.

“Bagaimanapun saya memuji aksi yang telah ditampilkan pemain dan berharap mereka akan belajar daripada kesilapan yang berlaku hari ini menjelang perlawanan kedua esok,” jelas Amin ketika dihubungi.

Australia membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi jaringan Dylan Wotherspoon sebelum Tom Craig menggandakan kedudukan pada minit ke-11 dan minit ke-18 Haziq menjaringkan gol untuk merapatkan kedudukan dan keputusan 2-1 kekal menuju ke bilik persalinan.

Bersambung suku ketiga Australia terus melebarkan kedudukan pada minit ke-32 dan 34 masing-masing menerusi Jacob Anderson serta Jack Welch menjadikan kedudukan 1-4 menutup aksi di suku ketiga.

Minit ke-54 Firhan menjaringkan gol kedua negara dan ketika kedudukan dilihat seakan berkesudahan 2-4, Australia menerusi Tim Brand menjaringkan gol kelima pada penghujung perlawanan sekaligus aksi ditutup dengan keputusan 2-5.

Menjelang pertemuan kedua menentang Jepun esok, Amin yang menyedari Malaysia tidak turun pada kejohanan ini dengan kekuatan sebenar melihat pemain mahu menjadikan ia sebagai medan membalas dendam di atas kekalahan ketika Sukan Asia 2018 dan tidak mahu tewas kepada lawan yang sama untuk kali kedua.

“Pertemuan dengan Jepun adalah detik yang kami tunggu selepas apa yang berlaku di Sukan Asia baru-baru ini.

“Bagaimanapun saya dan pemain-pemain sedar kami tidak berada pada tahap kekuatan yang sebenar tetapi tetap akan berusaha untuk tidak tewas kepada mereka untuk kali kedua dan semangat untuk membalas dendam tetap ada di dalam diri setiap pemain.

“Apa yang saya harapkan mereka akan terus kekal fokus pada pertemuan esok dan memberikan persembahan yang terbaik,” tambah Amin lagi.

Malaysian Tigers akan bertemu Jepun untuk aksi kedua peringkat round robin pada jam 3.45 petang esok waktu Malaysia.

No Comments

Post A Comment