Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Malaysian Tigers Tutup Kempen Dengan Kemenangan

Skuad hoki lelaki negara akhirnya mencatatkan kemenangan dalam Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 selepas memastikan Jepun kali ini tunduk di tangan mereka apabila membelasah lawannya itu 4-0 sekaligus menyaksikan Malaysian Tigers menamatkan aksi di Stadium Hoki Marrara Australia itu di kedudukan ketiga.

Secara keseluruhannya selepas menamatkan empat perlawanan Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhammad Haziq Samsul telah meledak tiga gol sementara Mohd Fitri Saari menjaringkan dua gol dan Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Shahril Saabah serta Muhammad Azri Hassan masing-masing menyumbangkan satu gol untuk menjadikan keseluruhan 11 gol terhasil dalam kejohanan ini.

Pengendali pasukan bagi kejohanan ini, Muhammad Amin Rahim ketika dihubungi menanggap keputusan satu menang, satu seri dan dua tewas masih boleh diterima selain Amin turut menyatakan kelegaanya kerana masalah tertewas pada penghujung perlawanan akhirnya dapat diselesaikan oleh pemain.

“Satu menang, satu seri dan dua tewas masih lagi dilihat keputusan yang boleh dianggap baik kerana saya menyaksikan pemain bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan sehabis baik sepanjang kejohanan.

“Saya lega kerana pada perlawanan terakhir pemain berjaya menyelesaikan masalah tewas pada penghujung perlawanan yang mana masalah ini dapat dilihat ketika di Sukan Asia Jakarta baru-baru ini sehingga pertemuan dengan Argentina,” jelas Amin.

Barisan negara berjaya menembusi gawang lawan pada beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir apabila Shahril Saabah meledak gol menerusi gerakan padang dan jaringan tersebut kekal sehingga aksi separuh masa pertama ditutup.

Bersambung separuh masa kedua Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti tidak mempersiakan peluang yang terhidang apabila Azri Hassan memastikan skuad negara di hadapan 2-0 pada minit ke-37.

Beberapa saat selepas jaringan Azri, giliran Haziq Samsul untuk menambah derita Jepun apabila jaringan padangnya berjaya untuk memperdaya penjaga gol Jepun dan kedudukan berubah 3-0.

Seminit sebelum aksi suku ketiga berakhir, kapten pasukan Razie Rahim menyumbang jaringan kemenangan Malaysia apabila pukulan sudut penalti yang diterima disudahkan dengan cemerlang menerusi flik terus dan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Amin jelas gembira dengan kemenangan yang dicatat ke atas Jepun yang disifatkan sebagai sedikit sebanyak mengubati luka di Sukan Asia selain turut memuji aksi cemerlang pemain-pemain yang mengawal permainan dengan cukup baik sepanjang 60 minit tempoh permainan.

“Alhamdulillah saya bersyukur kami berjaya merakam kemenangan dengan Jepun dan sekurang-kurangnya ia berjaya untuk mengubati duka kami ketika di Sukan Asia baru-baru ini.

“Secara keseluruhan hari ini pemain bermain dengan cukup baik selain berjaya untuk mengawal permainan bagi tempoh keseluruhan 60 minit.

“Tahniah saya ucapkan kepada kesemua pemain dan juga kepada tenaga sokongan yang bersama pasukan bagi kejohanan kali ini,” tambahnya lagi.

Malaysian Tigers akan berangkat pulang ke Malaysia esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Sepang (KLIA 2) jam 2.00.

No Comments

Post A Comment