Sukan Olimpik Remaja 2018: Malaysia Ke Suku Akhir Selaku Naib Juara Kumpulan A

Skuad B-18 negara memastikan aksi terakhir peringkat kumpulan A Sukan Olimpik Remaja 2018 Buenos Aires Argentina ditutup dengan cemerlang apabila bangkit untuk mencipta kemenangan menewaskan lawan mereka Poland pada aksi yang berlangsung di Taman Olimpik Argentina hari ini.

Malaysia akan melangkah ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan A di belakang tuan rumah, Argentina selaku juara dan kini masih menanti siapakah lawan daripada kumpulan B yang akan bertemu mereka.

Skuad muda negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila 27 saat perlawanan bermula, Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya mengegar pintu lawan dengan jaringannya dan berselang seminit kemudian giliran kapten pasukan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar memastikan skuad negara terus berada di hadapan.

Bagaimanapun Poland berjaya untuk mengejar dan mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada aksi separuh masa pertama selepas Gracjan Piotr Jarzynski dan Eryk Bembenek meledak gol masing-masing pada minit keenam dan ketujuh untuk aksi separuh masa pertama ditutup dengan kedua-dua pasukan terikat seri.

Bersambung separuh masa kedua, Poland berada di hadapan pada minit ke-11 hasil jaringan Michal Nowakowski untuk menjadikan kedudukan 3-2 namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat skuad muda negara untuk terus bangkit mengejar lawan mereka.

Minit ke-15, Syarman Mat Tee berjaya untuk membantu skuad negara mengejar lawan mereka dengan mengikat kedudukan 3-3 dan seminit kemudian, Akhimullah sekali lagi menjaringkan gol untuk kedudukan berubah berpihak kepada skuad negara 4-3 dan keputusan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.

Selepas tamat lima perlawanan di peringkat kumpulan, skuad negara yang muncul selaku naib juara kumpulan A dengan 12 mata keseluruhan mencatatkan empat kemenangan serta satu seri dan telah meledak 31 gol selain bolos 11.

No Comments

Post A Comment