Sukan Olimpik Remaja 2018: Skuad B-18 Sumbang Emas Kedua Malaysia

Skuad hoki B-18 negara berjaya menambah satu lagi pingat emas apabila bangkit untuk mencatat kemenangan 4-2 ke atas India di Sukan Olimpik Remaja 2018 Buenos Aires dan walaupun perlawanan yang berlangsung di Taman Olimpik Argentina itu menyaksikan skuad negara ketinggalan seketika namun keazaman yang tinggi membantu mereka untuk bangkit menggenggam pingat emas.

Skuad muda negara cemerlang dalam mencipta sejarah mereka tersendiri apabila Malaysia yang menyertai Sukan Olimpik Remaja buat kali pertama berjaya untuk membawa pulang pingat emas dan jaringan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta kapten, Muhammad Amirul Hamizan Azahar berjaya membantu Malaysia untuk muncul selaku juara.

Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan India pada minit kedua apabila kapten India, Vivek Sagar Prasad menjaringkan gol pembukaan namun jaringan tersebut membakar semangat skuad muda negara untuk bangkit mengejar dan minit kelima jaringan penyamaan hadir menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi.

Bagaimanapun beberapa saat selepas Malaysia menjaringkan gol penyamaan, Vivek sekali lagi meletakkan India dihadapan dan kedudukan 1-2 kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Titik kebangkitan Malaysia bermula sebaik sahaja wisel separuh masa kedua ditiupkan dan empat minit selepas perlawanan bersambung, Akhimullah Anuar membantu negara untuk kembali mengikat India dan menjadikan kedudukan 2-2.

Minit ke-17 Amirul Hamizan yang melihat peluang di depan mata untuk melakukan percubaan tidak mempersiakan peluang tersebut untuk meletakkan skuad negara di hadapan 3-2 dan seminit kemudian, Akhimullah Anuar menjaringkan gol kemenangan negara untuk mereka mencatat sejarah tersendiri di Sukan Olimpik Remaja 2018.

Mengimbas kembali perjalanan skuad negara di kejohanan ini, mereka membuka tirai kejohanan dengan cukup cemerlang membelasah Vanuatu 14-0 diikuti menewaskan Mexico 4-2, seterusnya tewaskan Zambia 7-2 namun tewas kepada Argentina 2-4 dan kembali bangkit untuk mencari kemenangan dalam peringkat kumpulan menewaskan Poland 4-3 untuk muncul tempat kedua dalam Kumpulan A.

Pada aksi suku akhir, mereka berjaya menewaskan Austria 2-0 untuk menempah slot di separuh akhir dan bertemu Zambia sekali lagi, kali ini mereka menewaskan lawan 7-4 untuk menempah aksi di Final dan menewaskan India 4-2.

Acara hoki lima sebelah ditutup dengan pingat emas milik skuad negara, perak milik India dan gangsa milik tuan rumah, Argentina yang menewaskan Zambia 4-0.

No Comments

Post A Comment