19 Oct PLJ2018: Rakhmatul Pemain Muda Bercita-cita Besar
Memiliki ketinggian 160cm dan berhijab hitam, pastinya anda mahu mengetahui dan menyaksikan siapakah gadis manis yang sedang beraksi dalam Purple League Junior (PLJ) 2018 kali ini.
Diberikan nama sebagai Rakhmatul Fuadah, gadis berusia 19 tahun ini melakukan penampilan pertama untuk pasukannya, Kelab Badminton (BC) Amanjaya dengan beraksi pada aksi pembuka tirai PLJ, Sabtu lepas.
Berasal dari Grisek, Jawa Timur, Rakhmatul memperagakan aksi tidak mengecewakan apabila mendapatkan kemenangan ketika aksi sulungnya serta mengutip lapan mata set kemenangan selepas melalui tiga perlawanan di minggu pertama PLJ.
Pemain itu yang kini turut mewakili pasukan B-19 Indonesia bermula baik menewaskan juara Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Final 2018, Arena Satu Samin dari Sabah yang mewakili Ayer Itam BC 3-2 (9-11, 11-3, 11-10, 4-11, 11-9).
Dia kemudiannya meneruskan aksi bertenaganya namun tewas tipis 2-3 (10-11, 2-11, 11-5, 11-10, 9-11) menentang pemain tuan rumah, Tan Min Er yang bermain untuk Desa Petaling BC. Dalam aksi ketiga menentang Serdang BC, Rakhmatul kembali membuktikan kemampuannya, kali ini menang 3-1 (11-10, 8-11, 11-10, 11-8) ke atas Lee Xin Jie pada aksi hari Ahad lalu.
Rakhmatul turut menceritakan bagaimana dia dipelawa oleh kelabnya di Indonesia, Fifa BC bagi mencari pengalaman dan cabaran baru dengan beraksi dalam Purple League Junior. Bukan itu sahaja, ia juga adalah pengalaman sulung buat pemain ini beraksi di luar Indonesia.
“Pengurusan kelab saya, Fifa BC mempelawa saya untuk beraksi bersama Amanjaya BC. Setakat ini, saya tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan kelab ini kerana mereka sentiasa memberikan dorongan ketika saya beraksi.
“Saya suka beraksi dalam Purple League Junior kerana ianya memberikan peluang kepada diri saya untuk cuba bermain dengan pemain remaja terbaik dari negara lain. Bukan sesuatu yang mudah namun saya belajar benda baru setiap hari,” tambahnya.
Dengan ramai atlet Muslim melakukan penampilan di peringkat global, ditambah kejayaan Khabib Nurmagomedov yang menggegarkan dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) baru-baru ini serta Ibtihaj Muhammad iaitu atlet berhijab pertama meraih gangsa dalam acara lawan pedang di Olimpik Rio 2016, berhijab semasa bersukan bukan satu lagi perkara janggal dalam arena sukan dunia.
Bagi Rakhmatul sendiri, menjadi seorang atlet tidak bermakna dia harus memilih sama ada lebih mementingkan keimanan ataupun sukan, sebaliknya gabungan kedua-dua itu mampu memacunya untuk lebih berjaya dalam bidang pilihannya.
“Sebagai seorang Muslim, ia adalah kewajipan dalam agama saya untuk menutup aurat. Memakai hijab bukanlah halangan untuk saya kerana saya sudah terbiasa dengannya, ia tidak sesekali membuatkan saya berasa tak selesa. Sebaliknya, ia memberikan saya kekuatan dalaman untuk menghadapi lawan, “tambahnya.
Memasang cita-cita untuk menyerlah di peringkat antarabangsa, Rakhmatul pasti berada di landasan yang tepat setelah dia berjaya muncul juara dalam O2SN (Olimpiade Sukan Siswa Nasional), Premier B-19, kejohanan peringkat remaja, di Indonesia.
Dia kini sedang berusaha untuk menjadi seperti bintang idolanya dari Jepun, Nozomi Okuhara, pemain perseorangan wanita nombor tujuh dunia ketika ini.
“Saya suka menonton semua pemain yang hebat, salah seorang daripada mereka adalah Nozomi dari Jepun. Dia sama seperti saya, saiz yang kecil tapi wataknya bagai seorang pejuang.
“Saya sudah mewakili Indonesia di peringkat bawah 19. Target seterusnya ialah Kejuarnas (kejohanan kebangsaan). Dari sana, saya berharap untuk menempatkan diri bersama skuad kebangsaan, Insya Allah, “ujarnya.
No Comments