23 Oct PLJ2018: Aidil Sholeh sedia cipta sensasi untuk Malaysia
Berjaya membantu kelabnya, Kelab Badminton (BC) Cheras memecah dominasi Petaling BC untuk muncul juara Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) musim lalu, nama Aidil Sholeh Ali Sadikin pastinya bakal menjadi perhatian peminat badminton tempatan sedikit masa lagi.
Dia juga masih segar dengan kejayaan paling besar dalam kariernya berjaya meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki, Sukan Malaysia (SUKMA) Perak biarpun belum bernaung di bawah badan induk terbesar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu.
Dalam perkembangan terbaru, Aidil menerima tawaran untuk bersama BAM dan kehebatan sebenar pemain berusia 18 tahun itu akan diuji di pentas yang lebih mencabar iaitu di Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada pada awal November nanti.
Sebelum terbang ke Kanada, dia juga mempunyai misi yang harus dilaksanakan iaitu membantu pasukannya, Cheras BC untuk mempertahankan kejuaraan PLJ yang dimenangi mereka musim lalu.
Turun beraksi pada minggu pertama PLJ, Aidil membantu pasukan Cheras BC dengan mengutip kemenangan 3-0 (1-9, 11-6, 11-5) mengatasi Lee Qi Hong dari Puchong United BC sebelum turut menang 3-0 (11-8, 11-5, 11-6) mengatasi Kreeting dari Petaling Jaya BC minggu lalu untuk menyumbang mata penting kepada kelabnya.
Bercakap mengenai tawaran yang diterimanya, Aidil berkata dia sangat teruja untuk menyertai badan induk badminton tanah air selepas lama menunggu peluang tersebut.
Dia berkata, “Saya telah dipelawa oleh BAM untuk menyertai mereka dan akan melaporkan diri pada bulan Disember ini. Buat masa ini saya masih berlatih dengan Cheras BC di bawah Sports Affair.”
“Sudah tentu saya rasa gembira kerana ini adalah peluang yang saya tunggu selama ini tetapi ada juga perasaan gementar menyertai BAM. Saya akan ke Kejohanan Remaja Dunia sebelum menyertai mereka. Ini adalah penyertaan kali kedua saya di kejohanan itu dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk membalas kepercayaan BAM nanti,”kata Aidil.
Aidil turut menzahirkan ucapan terima kasih Sports Affair serta dua jurulatihnya di Cheras BC iaitu Rashid Sidek serta Nova Armada yang menjadi tonggak penting membentuknya sebagai pemain di zaman remaja.
Mengulas mengenai Aidil pula, Nova Armada berkata dia mengesan bakat lain daripada lain yang dimiliki pemain itu sejak dia berusia 14 tahun.
“Saya mula melihat kemampuan yang ada pada Aidil ketika dia berusia 14 tahun. Pada masa tersebut, dia berada bersama Ampang sebelum saya membawanya bersama Sport Affairs (Cheras BC).”
“Apa yang menarik perhatian saya, dia bukan sahaja memiliki bakat namun pemain ini sangat rajin dan seorang pemain yang bekerja keras. Dia akan mengikut segala perintah dan nasihat yang diberikan oleh jurulatih,”kata Nova.
Nova menambah, “Kakinya (Aidil) ringan, itulah kelebihannya bila di atas gelanggang. Dia telah mengalahkan ramai pemain-pemain hebat dan baru-baru ini (Juara Remaja Asia), Leong Jun Hao tewas kepadanya semasa SUKMA.”
“Dia kini sudah mendapat tawaran dari BAM dan akan meninggalkan kami di Cheras BC (Sports Affair), saya merestuinya untuk bersama BAM,” ujar jurulatih itu.
Aidil baru kembali daripada menyertai Siri Antarabangsa Singapura dengan berjaya menang 21-15,21-15 mengatasi pemain Thailand, Chacharit Yaowanit pada pusingan kelayakan. Dia bagaimanapun terkandas di pusingan pertama kejohanan selepas tewas dalam pertarungan tiga set 21-10, 18-21, 16-21 juga kepada pemain Thailand, Kittipong Imnark.
PLJ 2018 akan diteruskan di Sports Arena Puchong untuk pusingan kedua (27 dan 28 Oktober) dan di The Challenger Sports Centre Ampang (3 dan 4 November).
No Comments