Trofi Juara-Juara Asia 2018: Malaysian Tigers Terus Kekal Rekod Tanpa kalah

Skuad negara berjaya memastikan rekod tanpa kalah mereka di pusingan round robin, Trofi Juara-Juara Asia 2018 Muscat Oman kekal bersih apabila pertemuan dengan India yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos hari ini berkesudahan dengan seri tanpa sebarang jaringan.

Pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Roelant Oltmans yang cemerlang mempertahankan pintu gol daripada dibolosi dan jika dilihat aksi yang berlangung, India lebih menguasi perlawanan dan seringkali mengasak pintu gol negara serta memiliki kelebihan tiga pukulan sudut penalti namun masih gagal merobek gawang negara.

Aksi di suku pertama berlangsung pantas apabila India dilihat banyak memberikan tekanan kepada pertahanan pasukan negara dengan cuba untuk melakukan beberapa percubaan menuju ke gawang Malaysia dan sekali sekala dapat dilihat Malaysian Tigers juga cuba untuk melakukan serangan ke pintu gol mereka.

India mendapat kelebihan pukulan sudut penalti yang pertama pada minit kesembilan namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara, Muhammad Hairi Abd Rahman yang cemerlang menyelamatkan flik terus daripada pasukan lawan.

Seminit sebelum berakhir suku pertama, Mandeep Singh cuba untuk menguji penjaga gol negara menerusi situasi satu lawan satu namun percubaan yang dilakukan melewati palang gol Malaysia.

Minit ke-27, Malaysia cuba untuk menguji penjaga gol India, Sreejesh Parattu menerusi hantaran Muhammad Azri Hassan menuju tepat kepada Faizal Saari yang berada di hadapan pintu gawang India namun pertahanan India terus mengawal pergerakan Faizal untuk mematahkan percubaan tersebut dan kedudukan terus kekal tanpa sebarang jaringan di separuh masa pertama.

Bersambung aksi separuh masa kedua, Malaysia cuba untuk menyusun serangan bagi memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-36 apabila Norsyafiq Sumantri melakukan hantaran bola kepada Muhammad Marhan Jalil yang berada di kanan pintu gol lawan namun percubaan Marhan tidak menuju tepat ke pintu gol India.

Malaysia dipaksa untuk bermain dengan 10 pemain apabila salah seorang pemain negara di layangkan dengan kad kuning dan minit ke-55, Lalit Upadhyay hampir menjaringkan gol pertama namun percubaannya tersasar.

Minit ke-57, India dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua perlawanan dan pujian harus diberikan kepada Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang bijak melakukan larian terus menghalang pemain India serta mematahkan usaha mereka untuk cuba melakukan tindakan susulan daripada pukulan sudut penalti tersebut dan kedudukan masih kekal tanpa sebarang jaringan.

Seminit kemudian, India sekali lagi mendapat kelebihan pukulan sudut penalti ketiga dan cuba untuk melakukan set-pieces namun Syed Syafiq sekali lagi bertindak bijak untuk membaca taktik yang cuba dilakukan oleh India dan pintu gol negara masih terus terselamat.

Skuad negara terus menunjukkan disiplin untuk memastikan pertemuan berkesudahan dengan tanpa sebarang jaringan dan Malaysia akan turun untuk aksi terakhir pusingan round robin pada Jumaat jam 10.55 malam waktu Malaysia bertemu Pakistan.

No Comments

Post A Comment