29 Oct TNB Piala Tun Abdul Razak 2018: Perak, Terengganu Sama Hebat
Finalist tahun lalu Perak dan Terengganu berjaya menampilkan satu aksi yang hebat pada perlawanan pertama peringkat round robin divisyen satu TNB Piala Tun Abdul Razak 2018 hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Selain Perak dan Terengganu, bagi divisyen satu turut turun beraksi ialah Melaka dan Kuala Lumpur yang menyaksikan perlawanan berkesudahan tanpa sebarang jaringan sementara Johor tidak berdepan sebarang masalah untuk memastikan tiga mata milik mereka apabila menundukkan Pulau Pinang 4-0.
Aksi menarik ditampilkan oleh Perak dan Terengganu pada separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan dilihat saling melakukan serangan bagi mencari jaringan awal dan Perak mempunyai peluang terbaik untuk mendahului Terengganu menerusi Mohamad Ashran Hamsani namun percubaan Ashran terkena tiang gol.
Bagaimanapun jaringan yang dinantikan Perak akhirnya tiba pada minit ke-27 selepas pemain kebangsaan Muhammad Haziq Samsul tidak mempersiakan peluang yang dimiliki untuk meletakkan Perak terlebih dahulu dihadapan.
Bersambung separuh masa kedua, Terengganu akhirnya berjaya mengikat kembali kedudukan selepas Muhd Najmi Farizal Jazlan cemerlang menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima mereka pada minit ke-37.
Perak hampir kembali berada di hadapan apabila situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Terengganu cuba untuk dimanafaatkan oleh Muhamad Hafizal Halmi namun percubaannya melewati pintu gol Terengganu.
Kedua-dua pasukan terus dihidangkan dengan beberapa peluang termasuk kelebihan pukulan sudut penalti namun gagal untuk disudahkan dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Bagi penjaring gol penyamaan untuk Terengganu mengikat Perak, Muhd Najmi Farizal Jazlan, dia sememangnya bersyukur kerana berjaya untuk menjaringkan gol yang menghadiahkan Terengganu satu mata sambil berterima kasih kepada Terengganu atas kepercayaan membawanya beraksi bersama mereka.
“Pertama sekali saya nak berterima kasih kepada Terengganu kerana memberi saya peluang untuk beraksi bersama mereka dan pastinya saya bersyukur kerana selepas kepercayaan diberikan saya dapat menjaringkan gol untuk Terengganu.
“Saya sangat gembira kerana jaringan tersebut juga kami berjaya untuk membawa pulang satu sama dan saya bersyukur kerana kami mencatatkan keputusan seri dan sekurang-kurangnya tidak tewas untuk perlawanan pertama,” jelasnya.
Pertemuan Johor dengan Pulau Pinang pula menyaksikan Johor berjaya meraih tiga mata pertama adalah menerusi jaringan pukulan sudut penalti Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar (m’22) dan Muhammad Saifuddin Nazli (m’52) serta jaringan padang Shello Silverius (m’28), dan Faiq Razin Zariq Idris (m’42).
Dalam pada itu saingan bagi kategori lelaki divisyen dua menyaksikan PDRM terus cemerlang mengumpul tiga mata penuh dengan aksi hari ini menyaksikan mereka menundukkan Singapura 4-2.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya berjaya untuk memperolehi kemenangan pertama selepas dua perlawanan apabila menewaskan Kelantan 4-1 sementara pertemuan antara Selangor dan Pahang menyaksikan Pahang terus gah mengutip tiga mata apabila menundukkan Selangor 5-1.
Terdahulu bagi kategori wanita yang berlangsung pada awal pagi tadi menyaksikan Kuala Lumpur membelasah Singapura 5-1 dan Selangor serta PDRM sekadar berpuas hati berkongsi satu mata selepas perlawanan berkesudahan seri 3-3
No Comments