Trofi Juara-Juara Asia 2018: Skuad Negara Ke Penentuan Tempat Ketiga Dan Keempat

Kebangkitan yang ditunjukkan oleh Malaysian Tigers ketika aksi separuh akhir, Trofi Juara-Juara Asia 2018 Muscat Oman apabila mengikat Pakistan 4-4 nampaknya tidak cukup untuk membantu mereka melangkah ke pentas final selepas aksi penentuan shoot-out menyaksikan mereka terpaksa akur tewas 1-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos hari ini.

Malaysia ketinggalan 1-4 pada aksi separuh masa pertama berjaya bangkit untuk mengubah kedudukan menjadi 4-4 ketika wisel penamat dibunyikan namun ketika penentuan shoot-out hanya Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berjaya menjaringkan gol sementara Toseeq Arshad, Aleem Bilal dan Ammad Shakir Butt membantu Pakistan untuk keluar selaku pemenang.

Dalam aksi 60 minit perlawanan, skuad negara berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas Faizal Saari meledak jaringan padang ketika bola yang dilorongkan oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bijak untuk disambut Faizal.

Bagaimanapun Pakistan bangkit mencari empat gol pada aksi separuh masa pertama bermula dengan jaringan penyamaan pada minit keenam selepas Muhammad Irfan JR yang tidak dikawal berada di belakang penjaga gol negara, Muhammad Hairi Abd Rahman menyambut bola hantaran Ajaz Ahmad.

Pakistan terus menggandakan jaringan pada minit ke-12 selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki disudahkan oleh Aleem Bilal yang melakukan flik terus mencari sudut atas sebelah kanan pintu negara dan tiga minit kemudian Abu Bakar Mahmood yang berada dalam situasi satu lawan satu bersama Hairi Rahman menjaringkan gol menerusi satu pukulan kencang ke pintu gol negara menewaskan Hairi.

Minit ke-20 Pakistan yang memperolehi kelebihan pukulan sudut penalti terus meledak gol keempat mereka dan sekali lagi Aleem Bilal muncul selaku penjaring buat Pakistan serta kedudukan 1-4 menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung aksi suku ketiga Malaysia diberikan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 namun set-pieces yang cuba direncanakan oleh pemain negara dapat diselamatkan oleh penjaga gol Pakistan, Imran Butt tetapi Faizal berjaya untuk melakukan tindakan susulan mencari Muhammad Marhan Jalil namun sayangnya tindakan Marhan sedikit lewat untuk membaca hantaran Faizal.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat skuad negara untuk terus mencari jaringan dan minit ke-42 gol kedua negara hadir selepas Imran Butt melakukan kesilapan ketika situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Pakistan dengan menolak bola jatuh di hadapan Tengku Tajuddin dan Tengku menggunakan kesilapan penjaga gol Pakistan untuk menghukumnya dengan jaringan.

Tidak terhenti setakat itu, satu lagi gol berjaya diledak oleh Malaysian Tigers apabila gerakan Nik Aiman berjaya melepasi tiga pemain Pakistan dan melakukan hantaran bola kepada Muhammad Shahril Saabah namun Shahril Saabah terlepas bola yang dihantar Nik Aiman tetapi tindakan bijak Nik Aiman berlari ke bola tersebut dan melakukan satu pukulan menghadiahkan gol ketiga negara.

Jaringan penyamaan Malaysia hadir pada minit ke-56 selepas kelebihan pukulan sudut penalti kali ini berjaya disempurnakan dengan cemerlang oleh Faizal Saari yang melakukan satu flik terus menewaskan Iman Butt untuk perlawanan diheret ke penentuan shoot-out.

Walau bagaimanapun aksi di penentuan shoot-out nyata tidak memihak kepada skuad negara selepas hanya Nik Aiman yang berjaya untuk menjaringkan gol sementara Pakistan menyudahkan tiga pukulan yang sekaligus menyaksikan skuad negara akan beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat esok.

No Comments

Post A Comment