22 Nov Malaysian Tigers Tutup Siri Ujian Dengan Kemenangan
Skuad hoki negara akhirnya berjaya untuk mencatatkan kemenangan dalam siri ujian yang diatur bertemu New Zealand di mana pertemuan terakhir hari ini menyaksikan skuad bimbingan Roelant Oltmans menundukkan The Black Sticks 4-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kedua apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim akhirnya berjaya menemui rentak dengan menjaringkan gol menerusi flik terus.
Bagaimanapun New Zealand bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-10 selepas mereka yang turut dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti meledak jaringan menerusi Kane Russell dan empat minit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil memastikan skuad negara dihadapan 2-1 menerusi jaringan padang.
Bersambung separuh masa kedua, seminit selepas suku keempat bermula New Zealand berjaya mendapatkan gol penyamaan apabila George Muir menjaringkan gol padang dan sejurus selepas itu New Zealand merubah taktikal apabila mengeluarkan penjaga gol mereka dan menggunakan “kicking back keeper” dalam usaha untuk berada di hadapan.
Namun taktikal yang digunakan nyata mengundang padah apabila skuad negara berjaya untuk menggunakan kelebihan gol lawan yang terbuka untuk meledak dua gol padang pada minit ke-49 dan 56 masing-masing menerusi Faizal Saari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk perlawanan tamat dengan kemenangan 4-2 berpihak skuad negara.
Kapten Malaysian Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib melihat siri perlawanan ujian yang diatur merupakan satu persiapan yang cukup baik bagi dia dan rakan seperjuangan sambil menegaskan corak bertahan yang lebih baik berjaya ditunjukkan oleh Malaysian Tigers hari ini untuk mereka meraih kemenangan yang pastinya mampu melonjakkan semangat pemain-pemain.
“Siri ujian yang dijalankan merupakan satu persiapan yang cukup baik menjelang Piala Dunia 2018 dan ini merupakan tahap permainan yang kami mahukan sebagai persiapan dan saya berharap pasukan akan mencapai sasaran yang ditetapkan ketika di Piala Dunia nanti.
“Perlawanan hari ini pemain lebih berdisiplin terutamanya ketika bertahan yang membezakan dua perlawaanan sebelum ini dengan hari ini dan hari ini tiada sebarang taktikal yang diubah cuma kami memperbaiki cara kami bertahan yang nyata ia memberikan kelebihan untuk kami hari ini,” ujar Sukri.
Dalam pada itu penjaring gol pertama Malaysia yang juga turut membantu dalam jaringan kedua pasukan, Razie Rahim bersyukur selepas lama tidak menjalani latihan akibat kecederaan hamstring yang dialami sebelum ini akhirnya berjaya menemui sentuhan terbaik dalam melakukan flik terus yang menghadiahkan gol pembukaan Malaysia.
“Saya tidak menjalani latihan agak lama kerana kecederaan sebelum ini dan Alhamdulillah akhirnya saya dapat menjaringkan gol dan ia merupakan satu petanda positif sebelum kami berangkat ke India.
“Bagi saya apabila saya berjaya untuk turut membantu dalam jaringan kedua Malaysia, ia merupakan salah satu tanggungjawab saya dan setiap pemain mengetahui tugas mereka jadi saya cuma menjalankan tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin,” jelas Razie.
Untuk rekod dalam tiga perlawanan ujian yang telah diatur bersama New Zealand, Malaysia tewas dua perlawanan awal, 1-2 pada aksi pertama dan 3-4 pada aksi kedua sebelum bangkit mencatatkan kemenangan pada hari ini.
No Comments