Malaysian Tigers Tewas 1-2 Pada Aksi Pertama

Perlawanan ujian yang diatur bertemu New Zealand menyaksikan skuad negara tewas 1-2 kepada lawan mereka pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit jalil, hari ini.

New Zealand terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi jaringan padang Stephen Jenness dan menggandakan kedudukan pada minit ke-17 juga menerusi gol padang kali ini hasil jaringan Aidan Sarikaya.

Kekasaran yang dilakukan oleh pertahanan New Zealand di dalam kawasan gol menghadiahkan pukulan stroke buat kem negara dan pada minit ke-22 Faizal Saari tidak berdepan masalah untuk melunaskan pukulan tersebut.

Bermula daripada gol Faizal, skuad negara terus dihidangkan dengan deretan peluang untuk mendapatkan gol penyamaan, namun sayangnya peluang yang dimiliki tidak disempurnakan dengan sebaiknya dan kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengulas mengenai aksi hari ini, pengendali negara, Roelant Oltmans melihat ada ruang yang perlu diperbaiki oleh barisan negara terutamanya pada babak awal perlawanan dan menjadikan aksi pertama sebagai medan untuk menilai kembali setiap taktikal yang dipelajari oleh pemain selama ini selain Roelant memberikan pujian kepada pemain yang cuba bangkit mengejar pada suku terakhir perlawanan.

“Seperti yang telah saya katakan sebelum ini di mana perlawanan ini kami akan menilai setiap taktikal yang telah kami praktikan selama ini dan jika anda lihat kami kurang beraksi dengan baik di awal perlawanan namun di suku terakhir pemain telah menunjukkan persembahan yang lebih baik berbanding New Zealand terutamanya dari segi peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami juga berjaya memberikan tekanan kepada pertahanan lawan di suku yang terakhir tetapi sayangnya kami tidak menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol penyamaan dan secara keseluruhan ada sudut positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini dan ada juga kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Sudah tentu dari segi penyudahan perlu diperbaiki lagi terutamanya apabila kami memiliki lima pukulan sudut penalti tetapi tidak menterjemahkannya kepada jaringan juga beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol padang dan sudah tentu saya akan menilai kembali setiap kelemahan yang ada dengan pemain di mana ia akan diperbaiki untuk perlawanan kedua nanti,” ujar Roelant

Ketika diminta untuk mengulas lebih lanjut mengenai lima pukulan sudut penalti yang dimiliki oleh skuad negara tetapi tidak diterjemahkan kepada jaringan, Roelant menganggap ia merupakan salah satu kelemahan yang akan diperbaiki menjelang Piala Dunia 2018 namun Roelant turut berpuas hati apabila barisan pertahanan negara berjaya untuk mengekang New Zealand daripada menjaringkan sebarang gol menerusi pukulan sudut penalti.

“Apa yang pasti kami boleh lakukan dengan lebih baik daripada apa yang ditampilkan hari ini terutamanya apabila kami tidak menjaringkan gol daripada lima pukulan sudut penalti tetapi New Zealand juga tidak menjaringkan sebarang gol daripada empat pukulan sudut penalti mereka dan ia merupakan satu petanda yang baik apabila lawan tidak berjaya meledak gol daripada pukulan sudut penalti.

“Kami perlu berkeja keras lagi untuk mempertajamkan pukulan sudut penalti kerana kami kini mempunyai dua minggu lagi sebelum bermulanya Piala Dunia 2018,” jelasnya lagi.

Malaysia akan turun untuk aksi ujian kedua pada 20 November 2018 (Selasa) bertemu New Zealand sekali lagi pada jam 6.00 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

No Comments

Post A Comment