AKSI LEBIH BERTENAGA MASIH TIDAK MENCUKUPI BUAT YOUNG TIGERS

Skuad Bawah 21 tahun negara kendalian I Vikneswaran menjelmakan aksi terbaik mereka di Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 ketika berdepan Great Britain dalam aksi ketiga di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu namun, ia tidak cukup menafikan kekelahan 2-1 di tangan lawan.

Bagi Vikneswaran, aksi berdepan Great Britain adalah kali pertama para pemain dalam pasukannya berdepan sebuah pasukan Eropah yang menjelmakan corak permainan lebih fizikal dan ia sukar buat pemain negara yang kurang berpengalaman.

“Kami tidak memulakan perlawanan dengan baik apabila banyak melepaskan bola kepada lawan dan apabila ini berlaku, ia menjadi sukar buat kami.

“Memang kita berjaya bangkit menyamakan kedudukan tetapi selepas itu, Britain terus menjelmakan aksi permainan fizikal dan banyak situasi 50-50 dimenangi pemain mereka.

“Tetapi pemain kita sepatutnya menggunakan kepantasan mereka namun, ini adalah aksi pertama berdepan lawan dari Eropah dan saya percaya mereka akan belajar daripada pengalaman ini,” kata Vikneswaran Ketika siding media pasca perlawanan pada Rabu.

Mengulas mengenai aksi berdepan Australia pada Khamis, Vikneswaran tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya mahu pemain memberikan tentangan serta meraih pengalaman berdepan pasukan berkelas dunia itu.
Aksi suku pertama menyaksikan barisan muda negara berhempas pulas mematahkan beberapa ancaman awal lawan.

Namun, ketika suku pertama seakan berakhir tanpa jaringan, Britain dihadiahkan pukulan strok penalti selepas benteng negara melakukan kesalahan ketika menahan pukulan sudut penalti lawan dan Kaden Draysey tenang menyempurnakan pukulan buat pasukannya mendahului 1-0.

Malaysia bingkas bangkit meraih gol penyamaan pada minit ke-17 di suku kedua menerusi jaringan padang Aqilrullah Che Nur yang melakukan gerakan solo mengelirukan benteng lawan.

Skuad negara terus memberi tentangan kepada Britain namun, lawan kembali mendahului pada minit ke-53 apabila Monty Neave melepasi kawalan pertahanan Malaysia sebelum menyempurnakan jaringan padang yang cantik untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.

Dalam aksi terdahulu pada Rabu, Australia menamatkan rentetan kemenangan India apabila merakam kemenangan 4-0 ke atas gergasi Asia itu manakala New Zealand pula merakam kemenangan 3-1 ke atas Jepun.

Bagi Vikneswaran, aksi berdepan Great Britain adalah kali pertama para pemain dalam pasukannya berdepan sebuah pasukan Eropah yang menjelmakan corak permainan lebih fizikal

No Comments

Post A Comment