Aksi Ujian: Malaysian Tigers Tewas Melawan

Siri perlawanan ujian kedua yang berlangsung hari ini diantara Malaysian Tigers dan The Black Sticks menyaksikan skuad negara tewas 3-4 dalam satu pertarungan yang cukup menarik yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Skuad negara terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit keempat menerusi gol padang George Muir dan Aidan Sarikaya menggandakan kedudukan perlawat pada minit ke-20 sebelum skuad negara bangkit mengejar menerusi jaringan padang Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-21 untuk aksi separuh masa pertama tamat dengan 2-1.

Minit ke-42 jaringan penyamaan Malaysia hadir apabila Faizal Saari bijak untuk melakukan penyudahan daripada pukulan sudut penalti yang dimiliki oleh skuad negara, bagaimanapun minit ke-47, New Zealand yang memiliki kelebihan pukulan sudut penalti bangkit untuk kembali berada di hadapan menerusi gol Shea McAleese.

Malaysian Tigers terus mengejar New Zealand apabila menjaringkan gol pada minit ke-48 sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti kali ini Nabil Fiqri Mohd Noor bijak untuk melakukan tolakan daripada lantonan bola yang cuba untuk diselamatkan oleh penjaga gol New Zealand dan kedudukan berubah 3-3.

Bagaimanapun New Zealand bangkit mencari gol kemenangan menerusi kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan Kane Russell menjaringkan gol kemenangan untuk kedudukan 3-4 kekal menutup siri ujian kedua.

Pengendali negara, Roelant Oltmans melihat ada perkara positif dan negetif yang perlu diambil kira selepas dua perlawanan termasuk kesilapan melepaskan gol mudah dan mahu kesilapan-kesilapan yang terlihat diperbaiki menjelang aksi ujian terakhir selain menuntut keputusan yang lebih baik daripada anak-anak buahnya.

“Setiap perlawanan ada perkara yang positif dan negetif yang dapat dilihat sebab itu perlawanan ujian dijalankan bagi menguji kekuatan dan kelemahan pasukan dan secara jujurnya kami tidak beraksi pada tahap terbaik kerana melepaskan dua gol mudah tetapi kami berjaya untuk bangkit mengejar selain mempunyai peluang-pelaung terbaik menjaringkan gol tetapi mereka tidak menyempurnakannya.

“Saya berasa ia juga merupakan salah satu kesilapan yang perlu dipelajari oleh pemain kerana dalam perlawanan yang berprestasi tinggi kita tidak boleh melepaskan peluang terbaik yang dimiliki untuk menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati apabila pemain berjaya untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti hari ini dan perlawanan ujian terakhir saya akan menurunkan 18 pemain yang beraksi di Piala Dunia kecuali jika ada yang mengalami kecederaan dan kami akan berusaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada perlawanan terakhir nanti,” ujar Roelant.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menganggap skuad kebangsaan masih mempunyai kerja rumah yang perlu disiapkan sebelum turun untuk aksi terakhir siri ujian pada Khamis dan percaya kesilapan yang telah berlaku dalam dua perlawanan sebelum ini akan terus diperhalusi dan diperbaiki.

“Kekalahan ini menunjukkan kami masih perlu menilai kembali setiap kelemahan di mana kami turut membenarkan lawan menjaringkan dua gol yang agak mudah dan dalam dua perlawanan mereka mudah membolosi kami melalui kiri dan kanan pintu gol jadi kami perlu melihat kembali apa yang perlu dilakukan pada perlawanan seterusnya,” tambah Sukri.

Malaysia akan turun untuk aksi ujian terakhir pada Khamis, 22 November 2018 jam 6.00 petang sebelum berangkat ke India bagi menggalas tugas di Piala Dunia Bhubaneswar 2018 pada Ahad.

No Comments

Post A Comment