ATM berada pada laluan menjulang gelaran Liga Perdana

MESKIPUN masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai gelaran Liga Perdana, kejayaan meraih tiga kemenangan berturut-turut tanpa bolos adalah petanda baik buat Angkatan Tentera Malaysia yang mengejar kenaikan ke Liga Super buat julung kalinya musim depan.

Namun, barisan bimbingan B Sathianathan seharusnya tidak leka sebaliknya mengekalkan rentak konsisten ini dengan lawan seterusnya menjanjikan cabaran sebenar pertama buat ATM setakat ini, Sime Darby FC yang bakal mereka ditemui di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini (4.45 ptg).

Sime Darby jelas bukan pasukan yang seharusnya dipandang enteng berikutan langkah mereka mendapatkan khidmat pemain seperti Razali Umar Kandasamy dari Perak, Irme Mat, Zamri Hassan, Hairul Nizam Haniff dan dua import Liberia, Patrick Wleh dan Sengbah dan Sengbah Kennedy.

“Ia adalah ujian sebenar pertama buat kami. Sime Darby memiliki ramai pemain hebat dan menyimpan cita-cita untuk ke Liga Super, sama seperti kami.

“Kami berharap untuk meneruskan persembahan yang ditunjukkan sehingga kini,” kata Sathia.

Selepas 3 perlawanan, ATM kini gah di puncak liga dengan rekod 100 peratus, menjaringkan 9 gol tanpa bolos diketuai Marlon Alex James, calon awal Kasut Emas dengan 6 gol diikuti Zaquan Adha Abd Radzak, Hairuddin Omar dan Christie Jayaseelan, masing-masing dengan satu jaringan.

Perkhabaran baik disaksikan pada perlawanan menentang Harimau Muda B tempoh hari apabila kapten, Hairuddin dan Christie menjaringkan gol-gol pertama mereka musim ini, membuktikan bahawa ATM tidak bergantung sepenuhnya kepada Marlon untuk menembusi gawang lawan musim ini.

“Jaringan dua pemain ini membuktikan bahawa ATM adalah pasukan yang mengharapkan kepada seorang pemain, Marlon semata-mata.

“Kesemua pemain saya tidak mengalami kecederaan dan berada pada tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi perlawanan ini,” tambah Sathia.

No Comments

Post A Comment