17 Aug FENOMENA ERACING CETUS SENSASI BARU
Fenomena sukan elektronik (esports) yang kian melanda negara sudah berjaya mencipta sensasi baru dalam kalangan remaja di tanah air ini.
Daripada dianggap sebagai satu hobi yang membuang masa, ia kini dianggap sebagai suatu cabang sukan yang berkembang pesat dengan satu portal berita perniagaan menyatakan jumlah penonton global eSports sebagai mencecah 400 juta tahun lalu dan dijangka meningkat ke lebih 550 juta pada 2021.
Perkembangan positif ini menyaksikan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkkan RM10 juta menerusi Bajet 2019 bagi pembangunan esports dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai gergasi esports di Asia.
Malahan, esports ini sudah diterima sebagai salah satu sukan di temasya Sukan Sea, Filipina pada penghujung tahun ini membabitkan lima permainan sukan elektronik.
Melihat perkembangan pesat eSports sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak tampil untuk menyahut seruan kerajaan dalam mempromosikan sukan ini kepada khalayak umum.
Antaranya, ialah Axle Motorsport yang diasaskan oleh bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong. Syarikat ini mengambil inisiatif untuk memperkenalkan eRacing di negara ini selepas ia membuat penampilan pertamanya di Hong Kong tahun lalu.
“eRacing Grand Prix SEA adalah platform terbaik bagi pelumba maya untuk membuktikan bahawa mereka turut mampu memberikan saingan dalam sukan bermotor yang sebenar,” kata Alex.
“Tiga pelumba terbaik pada akhir saingan bakal diketengahkan pada saingan lebih tinggi di peringkat Asia dan berpeluang untuk menjadi pelumba litar sebenar pada masa akan datang,” katanya.
Pada pusingan separuh akhir eRacing Grand Prix SEA 2019 yang berlangsung di 3 Damansara Shopping Mall hari ini, Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin antara mencuri tumpuan selepas aksi dominan yang ditunjukkan pada perlumbaan pertama separuh akhir.
Mior Muhammad Hafiz, 31 meletakkan diri pada landasan melayakkan diri ke pusingan akhir esok selepas mengungguli perlumbaan pertama separuh akhir.
Sejumlah 15 pelumba daripada Kumpulan Merah akan diiringi masing-masing 15 pelumba daripada Kumpulan Biru dan Kumpulan Hijau pada akhir saingan hari ini.
Pusingan separuh akhir yang menampilkan tiga perlumbaan akan dilangsungkan sepanjang dua hari hujung minggu ini.
Daripada 45 pelumba tersebut, senarai 15 pelumba yang akan beradu kekuatan pada pusingan akhir akan diketahui selepas berakhirnya pusingan separuh akhir esok.
Menyorot pembabitannya dalam Eracing, Mior yang bekerja sendiri itu berkata dia mula menceburi sukan itu selepas terpaut dengan kehebatan pelumba F1 di kaca televisyen.
“Bermula daripada minat saya dalam F1, saya menyertai Eracing sejak 2016. Saya begitu meminati pelumba F1, Mika Hakkinen dan memasang cita-cita untuk menjadi sepertinya,” katanya.
Mengulas mengenai persembahannya hari ini, Mior berkata bahawa dia tidak mahu terlalu menekan jenteranya pada kekuatan 100 peratus memandangkan dia hanya perlu menempatkan diri dalam kalangan 15 terbaik untuk meneruskan saingan hari ini.
“Saya tidak mahu terlalu menekan jentera saya kerana perlu mengelakkan tayar daripada menjadi haus. Ia menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan perlumbaan saya.
“Saya sebenarnya tidak mempunyai banyak masa berlatih kerana saya turut menfokuskan masa saya terhadap perniagaan minuman saya jadi saya amat gembira dengan persembahan saya pada hari ini.
Bagi Muhammad Afif Suhaimi, 25 yang mengungguli saingan Kumpulan Biru, penyertaannya dalam Eracing Grand Prix SEA adalah untuk menimba pengalaman daripada pelumba-pelumba hebat.
“Saya masih baru dalam sukan Eracing ini dan penyertaan saya lebih kepada untuk menimba ilmu daripada pelumba lain yang lebih berpengalaman.
“Sejak menyertai Eracing, saya mendapat ramai kenalan baru, antaranya pelumba go-kart yang banyak memberikan tips kepada saya.
“Untuk kejohanan seperti ini, saya akan berlatih dua hingga jam sehari. Kebiasaannya, saya akan menghabiskan masa bermain permainan video bersama rakan-rakan di rumah.
“Dengan cara itu, dengan secara tidak langsung, kita boleh memperbaiki kemahiran kita di samping menghabiskan masa dengan cara menyeronokkan,” kata mahasiswa universiti tersebut.
“Untuk eRacing Grand Prix SEA 2019 turut mendapat sokongan Maybank, Razer, Umobile, JD Sports, Thrustmaster, Spritzer, Playstation, Whitebox Simulators, Royal Selangor dan Razer.
No Comments