20 Sep Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Malaysian Tigers Dan Jepun Kongsi Satu Mata
Aksi kedua peringkat round robin di Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Dawin 2018 yang menemukan Malaysian Tigers dan Jepun berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Marrara, Australia, hari ini.
Malaysia dan Jepun kini berkongsi satu mata hanya dibezakan dengan jumlah jaringan dan skuad negara akan turun untuk perlawanan terakhir pusingan round robin pada Jumaat berdepan Argentina untuk menentukan kedudukan mereka pada pusingan tersebut sebelum turun pada perlawanan terakhir kejohanan pada Sabtu.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara dikejutkan dengan jaringan lawan terlebih dahulu pada minit ke-11 apabila Murata Kazuma menjaringkan gol padang namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Rahim menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi jaringan pukulan sudut penalti.
Tidak terhenti setakat itu, Kapten negara, Razie Rahim memastikan pukulan sudut penalti seterusnya yang diterima pada minit ke-15 diterjemahkan kepada jaringan dan Mohd Fitri Saari meletakkan skuad negara selesa 3-1 di hadapan selepas menyempurnakan pukulan stoke untuk menutup aksi separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua Malaysia dilihat berjaya mengekang setiap percubaan yang dilakukan oleh Jepun pada suku ketiga namun kesilapan berlaku dan Tanaka Seren menggunakan peluang yang dimiliki untuk mengejar skuad negara apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-45 dan seminit sebelum masa perlawanan tamat, Tamada Shota menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dan aksi ditutup dengan keputusan seri 3-3.
Bagi pengendali negara, Muhammad Amin Rahim yang dihubungi selepas tamat perlawanan, dia melihat pemain berjaya menampilkan aksi cemerlang pada separuh masa pertama namun kelekaan dan beberapa keputusan yang kurang tepat diambil pada penghujung suku ketiga dan keempat membuka ruang untuk Jepun kembali mengejar.
“Pemain telah menampilkan satu corak permainan yang cukup baik ketika separuh masa pertama apabila kami mendahului 3-1 namun kelekaan dan keputusan-keputusan yang dilakukan pada penghujung aksi suku ketiga dan keempat memberikan ruang kepada Jepun untuk menjaringkan dua gol.
“Selain itu pemain juga hilang tumpuan terhadap permainan apabila ada beberapa keputusan pengadil yang dilihat berat sebelah dan saya melihat masalah ini perlu diperbaiki dengan cepat agar ia tidak berulang lagi,” jelasnya.
Malaysian Tigers akan turun untuk aksi terakhir round robin pada Jumaat dan Amin menjelaskan pemain perlu mempertingkatkan lagi keyakinan mereka untuk bertemu Argentina dan masalah mudan hilang bola perlu diatasi dengan segera.
“Pemain perlu lebih fokus dan yakin dengan kemampuan yang mereka serta pasukan miliki apabila bertemu Argentina nanti selain mereka perlu mempertingkatkan lagi disiplin terutamanya ketika bertahan.
“Mereka juga tidak boleh lagi hilang bola dengan mudah dan setiap peluang yang terhidang perlu dimanafaatkan dengan sebaik mungkin.
“Rehat sehari akan kami gunakan untuk sesi pemulihan pemain selepas mereka melalui dua perlawanan berturut-turut dan kami juga akan melakukan video analisis bagi menilai kelemahan dan kelebihan kami serta pasukan lawan,” tambahnya lagi.
Malaysian Tigers akan turun pada Jumaat jam 3.45 petang untuk aksi terakhir pusingan round robin yang akan menemukan mereka dengan pasukan di ranking kedua dunia, Argentina.
No Comments