24 Nov InstaPutra juara pusingan ketiga Sepak Takraw League (STL)
ALOR SETAR (23 NOVEMBER 2014): Saingan pusingan ketiga Sepaktakraw League (STL) Zon Utara melabuhkan tirai dengan pasukan InstaPutra muncul juara dengan menewaskan Infratel ‘A’ pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.
InstaPutra, diperkuatkan tekong kebangsaan Fazil Asri, Anuar Samsudin dan Afifuddin Razali mencatat kemenangan 21-13, 21-14 ke atas Infratel yang diwakili Fauzi Ibrahim, Daud Muhamad dan Jamadi Mazlan untuk muncul juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Kemenangan ini juga menyaksikan InstaPutra layak beraksi di pusingan Grand Finals Januari depan, bersama-sama dengan Mazatech ‘A’ dan ATM ‘F’ yang muncul juara pusingan pertama dan kedua di Terengganu (Zon Timur) pada 13 – 16 November lalu.
Manakala Infratel selaku naib juara berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan layak beraksi di pusingan play-off bersama-sama Warisan AZ ‘A’ yang muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan ATM ‘J’ dan meraih RM1,000.
Pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung tiga set, Warisan AZ dibarisi dua bekas pemain kebangsaan, Nazirul Ikram dan Zul Effendi Sumari serta Fadzlihaimi Jamaludin tewas 13-21 pada set pertama tetapi bangkit menang dua set berikutnya 21-19 dan 21-12.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan bersama-sama Naib Presiden III PSM, Dato’ Mohd Yusof Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Muhammad Mahazi Ibrahim dan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Aminudin Omar.
Terdahulu pada perlawanan separuh akhir, percaturan berani jurulatih InstaPutra, Muhamad Saffar merehatkan tekong berpengalaman, Fazil Asri dan membariskan Faiz Roslan sebagai tekong utama hampir membawa padah apabila InstaPutra mencicirkan beberapa mata mudah sebelum kemasukan Fazil membantu mereka mencatat kemenangan 21-18, 21-12.
Infratel ‘A’ pula menewaskan ATM ‘J’, juga menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-15.
STL yang diperkenalkan buat julang kalinya sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu. Selepas Kuala Terengganu, dua lagi pusingan berlangsung di Kedah pada 22, 23, 29 dan 30, disusuli Johor dan Melaka sebelum Grand Finals berlangsung di Kuala Lumpur.
Keputusan:
Suku Akhir: InstaPutra mng AMZ Sports ‘A’ 2-0 (21-11, 21-13); Infratel ‘A’ mng PSNP 2-1 (21-14, 17-21, 21-18); Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘G’ 2-1 (21-12, 11-21, 21-18); ATM ‘J’ mng IL-MPSJ 2-1 (15-21, 21-12, 22-20)
Separuh Akhir: InstaPutra mng Warisan AZ ‘A’ 2-0 (21-18, 21-12) & Infratel ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-0 (21-14, 21-15)
Tempat Ke-3 : Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-1 (13-21, 21-19, 21-12)
Akhir : InstaPutra mng Infratel ‘A’ 2-0 (21-13, 21-14)
JADUAL:
Kedah – (Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar; 22-23 Nov & 29-30 Nov).
Johor – (Stadium Tertutup Pasir Gudang; 13-14 Dis & 20-21 Dis).
Melaka – (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Seringit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).
Grand Final – (Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).
#STL #SepakTakrawLeague #ASV
No Comments