05 Oct JOM TURUN PADANG
Lebih 30 badan korporat akan menyertai jutaan rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan sulung Hari Sukan Negara.
Hari Sukan Negara bertujuan menyemai gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat dengan menganjurkan pelbagai acara sukan yang akan diraikan pada 10 Oktober di seluruh negara.
Ianya telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac, 2015 dengan anggaran tiga juta rakyat Malaysia dijangka mengambil bahagian dalam sambutan di seluruh negara.
Kerajaan juga telah mewartakan Sabtu kedua pada Oktober setiap tahun sebagai Hari Sukan Negara.
Hari Sukan Negara adalah satu inisiatif yang dipacu oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah proaktif dalam mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara sukan. Oleh itu, Hari Sukan Negara telah dijadikan sebagai agenda nasional selaras aspirasi negara menuju Wawasan 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata secara umumnya diakui bahawa sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan Hari Sukan Negara melibatkan penyertaan besar-besaran rakyat Malaysia dalam memupuk gaya hidup sihat.
“Selain itu ia turut menceritakan kisah-kisah peribadi atlet yang telahpun berjaya dan menjadi contoh kepada generasi muda kita. Pengamalan aktiviti senaman secara berterusan dan tabiat pemakanan yang sihat akan turut menjauhkan penyakit-penyakit kronik,” kata Khairy.
Beliau bercakap pada sidang media hari ini, mengumumkan antara rakan korporat yang akan terlibat untuk acara pada 10 Oktober.
Konsep meraikan Hari Sukan Negara diamalkan secara meluas di beberapa negara lain. Di India, Hari Sukan Negara menandakan hari lahir lagenda hoki, mendiang Major Dhyan Chand, yang menjadi tunjang dalam membantu India memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, manakala di Jepun dan Qatar, ianya diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Di Malaysia, kerjasama di antara sektor awam, sektor swasta dan masyarakat umum ini akan memastikan bahawa aktiviti sukan dan kecergasan akan dapat dijalankan dengan lancar dengan kadar penyertaan yang tinggi pada hari tersebut.
Tambah Khairy, Hari Sukan Negara bertujuan meningkatkan kesihatan masyarakat umum, mengenalpasti bakat sukan, meningkatkan produktiviti, menjana kesejahteraan komprehensif, meningkatkan kesihatan mental dan memupuk semangat perpaduan dalam negara.
“Ini adalah penting dalam usaha kerajaan untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif memandangkan peratusan masyarakat aktif di dalam sukan adalah dianggarkan sekitar 40 peratus berbanding 50 ke 60 peratus di negara-negara maju,” tambahnya.
Budaya sukan melalui amalan gaya hidup sihat dan aktif juga dapat mengurangkan kadar pertumbuhan penyakit-penyakit kronik di kalangan rakyat Malaysia.
Sejumlah 4,435 (setakat hari ini) program kecergasan dan kesukanan dijadual diadakan sempena Hari Sukan Negara di seluruh semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan kerjasama dan penglibatan yang baik dari Jabatan Belia dan Sukan dan kerajaan negeri masing-masing di semua peringkat di kampung, daerah dan kawasan parlimen.
Antara acara sukan yang dirancang adalah sepak raga, futsal, bola keranjang, Zumba (tarian senaman fizikal), cari harta karun, bola jaring dan cabaran Muay Thai untuk semua. Acara ikonik anjuran sektor korporat pula termasuk Spartan Race, The Music Run, Triathlon Antarabangsa PD, Score Fitmob, ekspo sukan dan lumba basikal nasional.
Hari Sukan Negara adalah hari yang penting untuk menggalakkan penambahan berterusan peluang buat setiap rakyat Malaysia terlibat dalam mana-mana aktiviti sukan dan menjalani kehidupan yang aktif secara fizikal.
No Comments