29 Oct Kejohanan bola sepak ‘Eat Right to Play Right’ anjuran Zurich Malaysia tingkatkan motivasi para pemain belia dan jurulatih
Setelah Kejohanan Bola Sepak Belia ‘Eat Right to Play Right’ 2018 anjuran Zurich Malaysia berlangsung dengan jayanya di negeri Kedah dan Melaka, pusingan peringkat negeri itu telah beransur ke Pahang untuk terus menyemai tabiat pemakanan yang sihat kepada para pemain cilik melalui permainan bola sepak. Pusingan kali ini mendapat sambutan daripada lebih 450 pelajar berumur antara enam (6) dan 14 tahun.
Selain daripada pemain-pemain muda yang hadir, ibu bapa dan jurulatih juga mempamerkan semangat yang tinggi selama berlangsungnya kejohanan dua hari ini di Kuantan pada 12 dan 13 Oktober lepas di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Para jurulatih dan pengurus pasukan dilihat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang kejohanan dengan menyampaikan pelbagai arahan serta nasihat taktikal kepada pemain-pemain muda yang sedang mempamerkan bakat mereka di atas padang.
Walaupun program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi semakin menjadi bahan perbualan sejak akhir-akhir ini, Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR 2018 tampil dengan pendekatan yang berbeza untuk para pemain cilik. Ia bukan sahaja fokus pada aksi di padang, namun tujuan utamanya adalah untuk mendedahkan para peserta dengan tabiat pemakanan yang seimbang dari peringkat awal.
Ketua jurulatih akademi Mykids Balok, Azeman Md Rashid yang berjaya membawa dua pasukan Bawah-12 (B-12) dan Bawah-14 (B-14) menguasai kategori masing-masing begitu gembira dengan kejayaan yang dicapai disamping turut menambah ilmu pengetahuan yang berguna tentang nutrisi. Dia berkata, “Kejohanan untuk kanak-kanak seperti ini sangat penting kepada pembangunan bola sepak di Malaysia kerana ia mengajar erti kerjasama, hormat-menghormati dan semangat kesukanan dari peringkat awal.”
“Saya juga amat teruja dengan pendedahan yang mereka terima mengenai aspek penjagaan nutrisi menerusi kejohanan ini kerana ia turut memainkan peranan jika pemain-pemain ingin memperbaiki kecergasan, stamina dan kesejahteraan minda mereka. Saya harap semua peserta akan mempraktikkan apa yang mereka pelajari di kejohanan bola sepak belia ERTPR ini,” tambah Azeman.
Seorang lagi pengurus dari akademi MyKids Balok, Haslina Jumahat memuji usaha program ERTPR ini untuk mendidik golongan muda dengan cara pemakanan serta gaya hidup yang sihat. Dia berkata, “Selain daripada menggalakkan pembangunan bola sepak, saya yakin Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR dapat membendung amalan dan aktiviti yang tidak sihat di kalangan remaja dalam komuniti kita. Saya berharap akan ada lebih banyak program seperti ini di masa depan kerana ia memberikan pendedahan yang berguna dan ilmu yang tidak ternilai.”
MyKids Balok merangkul kejuaraan kategori B-14 dengan memenangi pusingan penentuan penalti 5-4 menentang Makmur United sementara pasukan B-12 mereka pula bergelar juara selepas mengalahkan Kuantan Soccer Kids 3-2 dalam aksi pusingan akhir. Kategori B-10 pula dimenangi oleh Kuantan Soccer Kids selepas mengatasi Pesona FC 2-0 dan Kuantan Panthers muncul juara B-8 apabila berjaya menepis cabaran BMSK FC dengan keputusan 1-0.
Charlie Chai, Ketua Pemasaran Jenama, Zurich Malaysia turut turun padang semasa kejohanan berlangsung untuk menyokong pemain-pemain muda yang berbakat dan juga menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi setiap kategori.
‘Eat Right To Play Right’ seterusnya akan menjelajah ke negeri Sarawak diikuti oleh Lembah Klang sebelum kemuncaknya di Kuala Lumpur pada 8 Disember untuk perlawanan Pusingan Akhir. Pemenang bagi setiap kategori di peringkat negeri akan bersaing di Pusingan Akhir bagi merebut mahkota kejuaraan Piala Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR 2018.
‘Eat Right To Play Right’ adalah program komuniti bersepadu Zurich Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2016 dengan kerjasama organisasi tempatan bukan kerajaan, One Goal Malaysia (OGM) untuk menangani isu-isu malnutrisi di kalangan kanak-kanak dengan mendidik mereka mengenai kepentingan pemakanan serta pengambilan pemakanan yang sihat. Program ini juga menggalakkan aktiviti berbentuk fizikal dan kesukanan yang baik dan menggunakan generasi akar umbi dalam sukan bola sepak sebagai penggerak inisiatif. Ia dibiayai oleh geran Z Zurich Foundation.
No Comments