Kelayakan Olimpik Remaja: Skuad Lelaki Ledak 23 Gol Pada Aksi Pertama

Skuad hoki lelaki B-18 tahun negara memastikan tiga mata pertama menjadi milik mereka pada perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia, menentang Kemboja yang berlangsung hari ini di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand apabila menjadikan lawan mereka itu sebagai mangsa belasahan menewaskan mereka 23-0.

Kapten pasukan Muhammad Amirul Hamizan Azhar meledak hatrik sebanyak dua kali selain Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyumbang empat gol, Syarman Mat Tee melakar hatrik sementara Muhammad Noor Firdauz Rosdi, Alfarico Lance Liau JR, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Muhibuddin Moharam masing-masing menyumbang dua gol pada perlawanan pembukaan tersebut.

Pengurus pasukan merangkap penolong jurulatih skuad lelaki, Megat Azrafiq nyata gembira dengan kemenangan yang diperolehi oleh pasukannya namun menganggap anak-anak buahnya mampu menjaringkan lebih banyak gol dan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Keputusan ini merupakan permulaan yang baik untuk kami pada kejohanan ini namun secara keseluruhan masih banyak yang perlu diperbaiki kerana saya berpandangan Kemboja bukan saingan sebenar untuk skuad negara.

“Untuk perlawanan hari ini kami berpuas hati dengan jumlah jaringan yang diperolehi namun dari segi penyudahan masih ada yang perlu diperbetulkan walaupun pemain telah menjaringkan 23 gol, mereka sebenarnya mampu untuk meledak lebih banyak gol lagi,” ujarnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Menjelang pertemuan dengan Chinese Taipei esok, Megat menegaskan penting untuk pasukannya meledak gol yang banyak kerana jumlah jaringan akan membantu sekiranya di akhir pelawanan Malaysia terpaksa berkongsi mata dengan mana-mana pasukan.

“Saya berharap pemain akan mengingkatkan lagi prestasi mereka pada perlawanan bertemu Chinese Taipei esok dan betulkan semula kesilapan yang mereka telah lakukan dan semestinya saya mengharapkan kemenangan akan terus dicatatkan oleh pemain-pemain.

“Penting untuk pemain meledak gol dengan banyak kerana sekiranya kami menamatkan saingan kumpulan dengan berkongsi mata, jumlah jaringan pastinya akan membantu untuk melangkah ke perlawanan seterusnya dan penting untuk pemain-pemain meledak gol dengan lebih banyak lagi,” tambah Megat lagi.

Skuad B-18 lelaki akan beraksi dalam dua perlawanan pada esok, Khamis (26. April 2018) bertemu Chinese Taipei pada jam 11 pagi waktu Malaysia dan akan turun beraksi sekali lagi pada jam 5 petang waktu Malaysia menentang Bangladesh.

No Comments

Post A Comment