21 Nov Panthers Cuba Perkukuh Dulu Posisi Kedua
PENANG Panthers lebih gemar memikirkan untuk mengekalkan posisi kedua dalam carta mata Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir daripada mengintai status peneraju yang kini dicengkam Terengganu Turtles.
Bukan bermakna mereka sudah mengibar bendera putih dengan ketinggalan empat mata berbanding Turtles yang belum kalah dengan 18 mata tetapi kata pengurusnya, Jeffary Abd. Malek, “biarlah kami hadapi satu persatu lawan dan fokus kami sekarang ialah Kuala Lumpur Thunder, Ahad ini.
“Perkukuhkan tempat kedua ini terlebih dahulu dan bila jumpa Turtles balik (2 Disember), kami akan cuba (merampas teraju liga),” katanya selepas regu Mohamad Fazil Asri, Kamal Ishak dan Zaim Razali memastikan kemenangan ketujuh setelah menewaskan Kedah Eagles 21-16, 21-16, kelmarin.
Turtles turut menjinakkan Panthers 21-16, 14-21, 21-19 dalam pertembungan buku dan ruas pusingan pertama STL pada 11 November lalu yang dramatik malah mencatat rekod kehadiran paling ramai penonton di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.
“Thunder pun pasti mahu menang dengan kami dan ATM Guardians kini mulai semakin mendapat rentak (kedua-duanya terikat 10 mata di tempat ketiga dan keempat) jadi kami pun tidak boleh leka sekarang,” katanya.
Mengenai gandingan pilihan kedua yang menang hanya dalam 49 minit katanya, “kami akan terus menggilirkan pemain supaya mereka mendapat suasana perlawanan sebenar yang pastinya berbeza dengan sesi latihan.
“Sama ada Fazil dan Kamal atau Syahir Rosdi dan Azlan atau lain-lain termasuk pengumpan, Zaim atau Suhairi Sulaiman yang boleh bergandingan dengan sesiapa sahaja perejam, kami perlu dapatkan keseimbangan regu.
“Syahir dan Azlan Alias tetap bersedia sebagai gantian (menentang Eagles) namun jika prestasi pemain lain bagus, kami akan kekal begitu,” katanya, merujuk regu bimbingan Mohd. Helmi Ismail ini yang turut kalah kepada Guardians 13-21, 21-15, 21-18 dalam pusingan pertama, 15 Oktober lalu.
No Comments