22 Feb Pentas final MCKK Premier 7s jadi Idaman Tuan Rumah
Tuan rumah kejohanan ragbi MCKK Premier 7s, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mensasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke pentas final dalam saingan itu yang bakal berlangsung pada 23-25 Februari ini di Kuala Kangsar.
Pasukan itu menganggap bermain di tempat sendiri merupakan satu kelebihan buat mereka biarpun mengakui sedikit kesuntukan masa bagi mempersiapkan pasukan.
Jurulatih MCKK, Mohamad Romli Saad berkata, “Cabaran utama yang kami hadapi adalah kesuntukan masa memandangkan pemain bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Apapun, mereka telah mula berlatih sejak awal tahun jadi harap ianya tidak memberikan masalah besar kepada pasukan. Sekarang, mereka sudah turun berlatih semula pada waktu petang kerana selain MCKK Premier 7s, pasukan juga akan menghadapi kejohanan lain seminggu selepas itu”.
“Berbanding tahun lalu, kali ini kami hanya memiliki 1-2 pemain sahaja yang memiliki kemahiran individu. Selebihnya adalah pemain yang bermain dalam kejohanan 15s, tetapi saya yakin mereka tetap mempunyai semangat berpasukan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi tadi.
Mohamad Romli juga mahu memanfaatkan sepenuhnya aksi di halaman sendiri bagi memburu tempat di final serta turut mengharapkan sokongan padu daripada penonton yang bakal hadir nanti.
Dia berkata, “Pasukan kami telah lama tidak memenangi kejuaraan. Biarpun berhadapan dengan kesukaran tetapi dua kejohanan iaitu MCKK Premier 7s dan MSSP B-17 15s selepas itu adalah sasaran kami untuk meraih kejayaan”.
“Biarpun gaya permainan kedua-dua saingan agak berbeza namun pemain dapat menerima arahan dengan baik setakat ini. Mara ke perlawanan akhir sudah boleh dikira sebagai satu pencapaian yang bagus kepada kami”.
“Bermain di halaman sendiri juga diharapkan dapat membantu pemain beraksi lebih baik di atas padang. Saya yakin dengan sokongan padu di tempat sendiri disamping persekitaran yang sudah menjadi kebiasaan, ia bakal memberikan sokongan moral dan memberikan semangat kepada pemain,” ujar Mohamad Romli.
Pasukan MCKK yang turut menyertai Karnival Ragbi NRDP B-17 di Universiti Putra Malaysia bulan lalu muncul sebagai naib juara saingan itu setelah tumpas kepada Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dalam aksi final.
Untuk rekod, kali terakhir MCKK berjaya menjadi juara kejohanan ragbi MCKK Premier 7s adalah pada tahun 2013. Pada saingan tahun lalu pula, MCKK menduduki kedudukan keempat kejohanan tersebut.
Senarai Pasukan Yang Menyertai Kejohanan:
Pasukan Tempatan:
SMK Abi (Perlis); SM Sains Pokok Sena (Kedah); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (Kedah); The Malay College Kuala Kangsar , Sekolah Tuanku Abdul Rahman, SMK King Edward VII (Perak); SM Sains Hulu Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Selangor); Victoria Institution, SM Sains Hulu Selangor, Maktab Tentera Diraja (Kuala Lumpur); Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya); Sekolah Dato’ Abdul Razak, SMS Tuanku Jaafar, SMK King George V (Negeri Sembilan); SMK Sri Mersing, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, English College (Johor); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (Pahang); SM Sains Sultan Mahmud, MRSM Kuala Terengganu (Terengganu); SMK Sultan Yahya Petra 1 (Kelantan); SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Sarawak).
Pasukan Antarabangsa:
Sekolah Antarabangsa Australia (Singapura)
No Comments