PLJ 2018: Ampang Jaya BC Ambil Alih Takhta PLJ

Kemenangan Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya 13-5 ke atas Rawang BC di Sports Arena Puchong sebentar tadi membolehkan pasukan itu berada di puncak Divisyen Satu saingan Purple League Junior (PLJ) ketika ini.

Aidil Sholeh Sadikin beraksi cemerlang membantu pasukannya, Cheras BC yang juga juara edisi lalu PLJ menang ke atas pemain perseorangan lelaki Petaling BC, Yee Sin Foong 3-0 (11-3, 11-5, 11-5). Apapun, laluan semakin sukar buat Cheras BC bagi mengekalkan kejuaraan mereka dalam PLJ kali ini.

Ampang Jaya BC mengambil alih takhta apabila mereka memiliki kelebihan 63 pungutan mata daripada pendahulu sebelum ini, Bukit Cheras BC yang memiliki 61 pungutan mata selepas lima perlawanan.

Pemain perseorangan lelaki Ampang Jaya BC, Ng Tze Yong terlebih dahulu memberikan mata kepada pasukannya apabila dia menang 3-0 (11-8, 11-4, 11-6) mengatasi Aldo Oktaviano dari Rawang BC.

Skuad kendalian Ho Khek Mong bagaimanapun dikejutkan dalam acara beregu wanita selepas itu apabila pemainnya, Ho Lo Ee- Ng Wan Win tewas 1-3 (11-9, 8-11, 9-11, 6-11) kepada Eng Sin Jou- Yap Ling dari Rawang BC.

Apapun, Ampang Jaya BC kembali menarik nafas lega selepas gandingan Chia Wei Jia- Goh Yi Xuan meletakkan mereka di atas landasan kemenangan dengan mengalahkan Vanessa Ng Po Lyn- Yap Khai Quan 3-0 (11-9, 11-9, 11-7) dalam acara beregu campuran.

Pemain dari China, Chen Lu terus menceriakan Ampang Jaya BC dalam acara perseorangan perempuan apabila dia menang 3-0 (11-6, 11-5, 11-7) mengatasi Shalini Ravikumar.

Kemenangan Ampang Jaya BC diteruskan dalam acara beregu lelaki melalui gandingan Kolum Master Krisda- Lew Zeqing yang menang 3-2 (4-11, 11-7, 10-11, 11-6, 11-10) mengalahkan Ghoif Rohman- Ongky Saputra.

Mengulas mengenai pasukan Ampang Jaya BC, jurulatihnya Ho Khek Mong berkata dia berpuas hati dengan aksi anak buahnya kerana mereka sudah mula mempamerkan taring.

 

Khek Mong berkata, “Kita memang melakukan persediaan rapi untuk menghadapi saingan Purple League Junior. Jadi, apabila mereka mendapatkan keputusan yang baik dan kini mendahului liga, ia adalah sesuatu yang memuaskan hati saya.

 

“Apabila kita berada di atas, ini adalah sesuatu yang positif kepada pasukan. Saya yakin pemain tahu bagaimana untuk menghadapi situasi bagi kita terus kekal di atas puncak. Pemain-pemain perlu terus menjarakkan kedudukan dengan memenangi mata maksimum kerana Bukit Cheras BC adalah salah satu lawan kita di minggu terakhir nanti,”ujar Khek Mong.

 

Bagi Jurulatih Bukit Cheras BC, Tan Cheng Kuang, dia mahu pemainnya terus fokus dalam baki liga biarpun dipintas Ampang Jaya BC tadi.

Dia berkata, “Saya rasa hari ini kita beraksi di bawah tahap sebenar biarpun mencatatkan kemenangan. Pada mulanya saya begitu yakin pasangan beregu campuran kami akan menyumbangkan mata namun sebaliknya berlaku apabila mereka yang tewas 0-3 kepada lawan.”

 

“Dengan kedudukan kita yang dipintas oleh Ampang Jaya BC ketika ini, ia bagaimanapun tidak memberikan tekanan kepada pemain-pemain saya,”katanya.

 

“Yang penting, pemain-pemain saya harus mengekalkan semangat berpasukan serta terus memberikan aksi terbaik kerana liga kini sudah menghampiri penghujungnya. Pemain perlu mengambil kesempatan cuti beberapa hari untuk membaiki segala kelemahan sebelum turun beraksi dalam minggu terakhir PLJ minggu depan,” tambah Cheng Kuang.

 

Dalam saingan Divisyen Dua PLJ yang berlangsung selepas itu, Amanjaya BC melebarkan kedudukan mereka di atas puncak saingan apabila mereka menang besar 12-3 ke atas Georgetown BC. Mereka mengumpul 77 pungutan mata kemenangan secara keseluruhan diikuti Kuantan Synergy BC yang berada di tangga kedua dengan 71 mata selepas enam perlawanan.

 

No Comments

Post A Comment