30 Oct PLJ 2018: Ampang Jaya BC Selesa Tamatkan Saingan Minggu Kedua PLJ
Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya menguasai Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) apabila mencatatkan kemenangan 13-5 ke atas Rawang BC dan pada sebelah petang, mereka seri 9-9 bertemu Kepong BC di Sports Arena Puchong Ahad lalu.
Pasukan Ampang Jaya BC kini mengutip 72 mata daripada enam perlawanan, Bandar Maharani BC di tangga kedua dengan 65 mata (selepas enam perlawanan), diikuti Bukit Cheras BC di tangga ketiga dengan 61 mata (selepas lima perlawanan), dan Kepong BC, di kedudukan keempat dengan 52 mata (selepas lima perlawanan).
Dalam aksi sengit menentang Kepong BC yang merupakan antara pasukan pencabar kejuaraan musim ini, Ampang Jaya BC terlebih dahulu menang dalam aksi perseorangan lelaki. Kemenangan itu dihasilkan Ng Tze Yong yang menang mudah 3-0 (11-7, 11-8, 11-8) menentang Chew Yi Xin.
Kepong BC bangkit selepas itu apabila menang dalam acara beregu wanita. Pemain mereka, Go Pei Kee- Welnis Lim Peiy Link berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 (11-9, 11-10, 11-7) ke atas pasangan Ampang Jaya BC, Ng Wan Win- Tan Yan Yi.
Tidak cukup dengan itu, Kepong BC terus menekan Ampang Jaya BC menerusi satu lagi kemenangan dalam acara beregu campuran. Kali ini giliran Tan Zhing Yi- Tee Kai Wun menang 3-1 (11-6, 11-7, 6-11, 11-6) mengatasi Chia Wei Jie- Goh Yi Xuan.
Apapun, Ampang Jaya BC tidak memberi laluan mudah apabila mereka kembali memenangi aksi dalam acara perseorangan perempuan. Kali ini, Chen Lu tidak menghampakan Ampang Jaya BC apabila menang 3-0 (11-5, 11-2, 11-7) mengalahkan wakil Kepong BC, Sik Xiao Hui.
Kepong BC sekali lagi berjaya menang dalam acara terakhir iaitu beregu lelaki. Apapun mereka sekadar menang tipis 3-2 (11-6, 11-4, 9-11, 10-11, 11-8) menerusi Ng Yong Chai- Tan Kok Xian yang menumpaska wakil Ampang Jaya BC, Fatkhul Rozzi- Tan Min Kang.
Kemenangan Kepong BC dalam acara itu tidak cukup untuk mereka mengatasi Ampang Jaya BC menyaksikan perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat seri.
Mengulas mengenai pasukan Ampang Jaya BC, jurulatihnya Ho Khek Mong berkata dia berpuas hati dengan aksi anak buahnya kerana mereka sudah mula mempamerkan taring.
Khek Mong berkata, “Kita memang melakukan persediaan rapi untuk menghadapi saingan Purple League Junior. Jadi, apabila mereka mendapatkan keputusan yang baik dan kini mendahului liga, ia adalah sesuatu yang memuaskan hati saya.”
“Apabila kita berada di atas, ini adalah sesuatu yang positif kepada pasukan. Saya yakin pemain tahu bagaimana untuk menghadapi situasi bagi kita terus kekal di atas puncak. Pemain-pemain perlu terus menjarakkan kedudukan dengan memenangi mata maksimum kerana Bukit Cheras BC adalah salah satu lawan kita di minggu terakhir nanti,”ujar Khek Mong.
Keputusan lain di sebelah petang Ahad lalu, Bandar Maharani BC membelasah Petaling Jaya BC 15-1, Puchong United menewaskan Petaling BC 12-7, dan Cheras BC menang 9-7 ke atas Rawang BC.
Dalam saingan Divisyen Dua PLJ yang berlangsung pada tengah hari Ahad lalu, Amanjaya BC melebarkan kedudukan mereka di atas puncak saingan apabila mereka menang besar 12-3 ke atas Georgetown BC. Mereka mengumpul 77 pungutan mata kemenangan secara keseluruhan diikuti Kuantan Synergy BC yang berada di tangga kedua dengan 71 mata selepas enam perlawanan.
PLJ akan menuju minggu terakhir dengan baki beberapa aksi sahaja lagi pada 3 dan 4 November ini di The Challenger Sports Centre Ampang bagi menentukan pasukan mana bakal mendominasi liga badminton remaja musim ini.
No Comments