07 Mar PSAS 2018: India Sekat Hajat Malaysia
Impian skuad negara untuk terus mencatat kemenangan pada perlawanan keempat Piala Sultan Azlan Shah 2018 tidak berkesampaian apabila tewas 1-5 kepada India dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, hari ini.
Selepas megharungi empat perlawanan Malaysia mencatatkan dua kemenangan serta dua kekalahan yang meletakkan mereka kini di kedudukan ketiga dengan enam mata keseluruhan dan perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir menentang England pada Jumaat untuk terus berada dikedudukan tiga terbaik.
Malaysia melakukan percubaan awal untuk merobek gawang India menerusi larian solo Faizal Saari pada minit ketujuh dan Faizal yang dilihat berada pada kedudukan yang sukar melakukan percubaan namun berjaya ditepis oleh penjaga gol India, Suraj Karkera.
Dalam usaha Malaysian Tigers untuk mendapatkan gol awal, skuad negara dikejutkan dengan jaringan pembukaan India menerusi Shilanand Lakra pada minit ke-10 yang bijak menggunakan kesempatan keadaan kelam kabut dalam kawasan gol.
Usaha kedua-dua pasukan untuk memburu jaringan di suku kedua berterusan, India dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama dan pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman dan barisan pertahanan yang bijak mematahkan percubaan-percubaan India.
Dua minit sebelum berakhir suku kedua Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk meledak gol penyamaan menerusi gerakan Tengku Ahmad Tajuddin dan Faizal Saari tetapi usaha kedua-dua pemain untuk mendapatkan gol tidak berkesampaian dan kedudukan 1-0 kekal di separuh masa pertama.
Bersambung suku ketiga Malaysian Tigers tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pertama yang diterima dan Faizal Saari melakukan flik mencari sudut atas kiri pintu gol India berjaya menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-33.
Tiga minit sebelum berakhir suku ketiga, India sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan menjaringkan gol kedua apabila flik yang ditepi oleh Mohammad Hairi Abd Rahman diterjemahkan kepada jaringan oleh Gurjant Singh ketika melakukan gerakan susulan.
Minit ke-47 giliran skuad negara untuk mendapat pukulan sudut penalti kedua dan flik terus yang dilakukan oleh kapten negara, Muhammad Razie Abdul Rahim dapat dibaca oleh penjaga gol India malah Malaysia dikejutkan dengan jaringan ketiga India menerusi serangan balas yang dilakukan pada minit ke-48 dan jaringan diledak oleh Sumit Kumar.
India terus meledak dua lagi gol untuk merubah kedudukan menjadi 5-1 pada minit ke-54 dan 57 masing-masing menerusi Ramandeep Singh dan Gurjant Singh dan usaha skuad negara untuk mengejar pada beberapa saat sebelum berakhirnya perlawanan tidak berkesampaian menyaksikan kedudukan tersebut menutup aksi keempat Malaysia.
Lain-lain keputusan:
Australia 4 Ireland 1
Argentina 1 England 1
No Comments