SATHIA: “Impian untuk Bertemu Kelantan Termakbul

IMPIAN pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan untuk bertemu pasukan lamanya, Kelantan pada final Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila The Red Warriors menempah tiket selepas menyingkirkan Selangor 3-0 secara agregat pada separuh akhir kedua kelmarin.

Sathia yang mendedahkan hasrat untuk bertemu bekas pasukannya selepas membawa ATM mara ke final pertama sejak 46 tahun berada di Stadium Shah Alam untuk menyaksikan anak buah Bojan Hodak meraih kemenangan 2-0 menerusi jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ke-84 dan ketua pasukan, Badhri Radzi (m-90).

Timbal balik pertama di Stadium Sultan Mohammad IV berakhir dengan keputusan 1-0 dengan juara berganda itu yang memburu misi treble itu meneruskan rekod cemerlang mereka beraksi dalam 4 final dalam 5 musim sejak 2008.

“Terbukti Kumpulan B adalah ‘Kumpulan Maut’ pada kempen Piala Malaysia pada kali ini. Sehingga sekarang saya masih menyatakan bahawa Kelantan adalah pasukan yang terbaik di Malaysia.

“Kelantan adalah pasukan yang berpengalaman. Kedua-dua perlawanan kami di peringkat kumpulan adalah yang paling sukar buat kami sepanjang musim ini,” tambahnya.

Sedikit kelegaan buat Sathia berikutan Ghaddar, yang bertindak solo mengatasi tiga pertahanan sebelum menyungkit bola melepasi Norazlan Razali dan Norfarhan Muhammad yang tidak dapat beraksi pada final, 20 Oktober ini di Shah Alam berikutan penggantungan.

Namun, Sathia turut terkilan dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadly Idrus yang terpaksa diketepikan selepas menerima kad kuning pada perlawanan getir menentang Lions XII tempoh hari.

“Sungguh pun Ghaddar dan Norfarhan tidak dapat beraksi, mereka masih memiliki pemain lain yang mampu mencipta masalah buat kami. Tanpa Piya (Badhri) sekali pun (yang masuk sebagai pemain gantian) mereka masih memilki senjata ampuh untuk menewaskan Selangor.

“Kami akan merasai kehilangan Irwan Fadly. Dia adalah pemain kami yang paling konsisten di bahagian pertahanan. Saya mungkin menurunkan Taj (Amiridzwan) atau Reuben untuk mengisi kekosongan di bahagian itu,” katanya.

No Comments

Post A Comment