01 Jul Siri Terbuka Singapura: Juara Milik Malaysian Tigress
Kemenangan 6-0 menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 (Wanita) yang berlangsung hari in di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura menjulang Malaysian Tigress selaku juara selain mereka turut merekodkan enam perlawanan tanpa kekalahan.
Kegembiraan kem negara terus bertambah apabila Nuraini Abd Rashid muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak sembilan gol menerusi dua gol padang dan tujuh pukulan sudut penalti dan Nuraini juga turut menerima anugerah selaku Pemain Terbaik Kejohanan.
Skuad negara tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan apabila seawal minit kedua Fatin Shafika Md Shukri memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima tidak di persiakan dan berselang tiga minit kemudian dia menggandakan kedudukan negara kali ini menerusi jaringan padang.
Minit kelapan sayap kedudukan skuad negara terus dilebarkan apabila kali ini giliran Surizan Awang Noh menjaringkan gol padang dan beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan pemain paling muda dalam skuad Malaysian Tigress, Kirandeep Kaur menyumbang gol keempat buat negara apabila aksi satu lawan satu bersama penjaga gol tidak dipersiakan.
Jaringan kelima skuad negara hadir pada minit ke-51 selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki disudahkan dengan sempurna oleh Nuraini Rashid dan ia juga merupakan jaringan kesembilannya sepanjang perlawanan dan empat minit sebelum aksi berakhir Nur Amirah Shakirah Zulkifli melengkapkan jaringan keenam negara dan sekaligus menutup perlawanan akhir dengan kemenangan selesa 6-0.
Untuk rekod Malaysian Tigress membelasah Indonesia pada perlawanan pembukaan 18-0, diikuti dengan menewaskan Hong Kong China 10-0, seterusnya membenam cabaran Kazakhstan 8-1, menewaskan Thailand pada peringkat round robin 4-0, menjinakkan tuan rumah Singapura 5-0, dan aksi final Malaysian Tigress mengecewakan Thailand 6-0.
Malaysian Tigress akan bertolak pulang ke tanah air esok dan dijangka tiba di Majlis Sukan Negara (MSN) pada jam 5.00 petang.
No Comments