SPLC2019 sajikan platform gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR (7 NOVEMBER 2019): Sejak kebelakangan ini, work-life balance (Imbangan Kehidupan Bekerja) seakan sukar untuk dicapai oleh para pekerja yang berdepan dengan tekanan di pejabat. Salah satu cara bagi mengelakkan diri daripada menghadapi tekanan adalah dengan menjalankan aktiviti sukan dan kecergasan meskipun sukar untuk melakukannya berikutan faktor masa, tempat dan sebagainya.

Bagi memupuk amalan gaya hidup sihat di kalangan pekerja yang berada di sektor komersial, Malaysia Purple League telah tampil ke depan selepas kejayaan penganjuran Purple League dan Purple League Junior dengan menyediakan satu lagi platform bagi syarikat-syarikat korporat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Edisi sulung Senheng Purple League Corporate (SPLC) akan membuka tirainya pada hujung minggu ini di mana golongan korporat akan berentap di gelanggang bersama-sama dengan barisan pemain amatur dan semi-profesional untuk mempamerkan bakat terpendam mereka.

Lapan badan korporat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian di dalam pertandingan ini antaranya Pensonic, LionMas, redONE, dan senQ yang berada di dalam kumpulan A sementara OPPO, Top Glove, AEON Credit Service dan AIG akan berentap sesama mereka di dalam kumpulan B.

2 pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir bagi merebut slot pusingan akhir sekaligus berpeluang beraksi di pusingan playoff untuk melayakkan diri ke saingan liga badminton yang terulung di Malaysia – Purple League 2020.

Setiap pusingan akan membabitkan 5 perlawanan untuk kategori perseorangan lelaki (terbuka), beregu lelaki, beregu lelaki (gabungan umur yang melebihi 80 tahun dan keatas), beregu wanita, dan beregu campuran dimana setiap pasukan akan berebut untuk memenangi lima daripada 11 mata dalam setiap kategori. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Purple League (MPL), Dato’ Jack Koh menjelaskan insipirasi disebalik penganjuran kejohanan seperti ini adalah untuk menyediakan satu platform kepada para penaja untuk merasai sendiri pengalaman bermain dalam liga kompetitif seperti liga badminton profesional yang lain. 

Beliau berkata, “Setelah lebih enam tahun kami bergerak secara aktif untuk membangunkan sukan badminton serta mengambil beberapa langkah inovatif untuk memastikan ianya lebih berdaya saing khususnya bagi peminat setia Purple League, saya ingin menyatakan yang terdapat juga permintaan dari sektor kerajaan mahupun swasta yang turut sama berminat serta menyokong usaha yang telah kami jalankan.”

“Sebagai salah satu langkah untuk menghargai segala usaha serta sokongan yang diberikan oleh penaja-penaja kami, Purple League Corporate ini akan menjadi sebuah platform bagi syarikat-syarikat ini untuk merasai sendiri suasana serta membuka peluang kepada mereka untuk lebih dekat lagi dengan sukan badminton.” tambah Dato’ Jack

Untuk rekod, beberapa nama besar dalam sukan badminton akan turut sama-sama menyertai kejohanan Purple League Corporate yang julung kali diadakan. Antaranya ialah bekas pemain negara Kuang Beng Hong dan Ong Ewe Hock akan mewakili redOne; Ismail Saman, Daphne Ng dan Tiffany Chase wakil untuk pasukan Top Glove; manakala Yap Zhen, Kuan Kam Chung dan Sannatasah Saniru akan bermain untuk pasukan senQ.  

Musim pertama kejohanan SPLC ini akan dijalankan selama dua minggu secara round-robin dan akan bermula pada 9, 10, dan 16 November sebelum pusingan separuh akhir dan akhir yang dijadualkan pada 17 November 2019 di Sports Arena, Sentosa.

No Comments

Post A Comment