08 Jan SSPL 2016/17: Enam Pasukan Sahkan Tempat Ke Saingan Kalah Mati
Enam pasukan mengesahkan kedudukan mereka ke peringkat kalah mati bagi merebut kejuaraan SS Purple League (SSPL) musim ini selepas berjaya berada pada kelompok enam pasukan teratas saingan round robin yang tamat di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pasukan tersebut adalah Kelab Badminton (KB) Muar selaku juara, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya dan KB Petaling.
KB Bandar Utama Dragons yang beraksi pada perlawanan terakhir di sebelah malam menang ke atas KB Bangsar Hawks 14-2. Keputusan itu membolehkan mereka melonjak daripada tangga keenam liga ke tangga kedua dengan mengumpul 97 mata.
Kelab dari Johor itu menang dalam acara perseorangan lelaki pertama yang diwakili oleh Goh Soon Huat, seri dalam perseorangan wanita melalui Goh Jin Wei, serta menang dalam beregu lelaki menerusi gandingan Chooi Kah Meng/ Mak Hee Chun.
Dalam kategori beregu campuran yang diwakili Chow Mei Kuan/ Tan Kian Meng mereka juga mencatatkan kemenangan dan pemain perseorangan lelaki terakhir, Wei Nan juga menang dalam satu lagi acara perseorangan lelaki sekaligus melengkapkan malam cemerlang kelab itu.
Menurut pengurus KB Bandar Utama Dragons, Jason Wong, melonjak ke tangga kedua sekaligus layak automatik ke separuh akhir SSPL adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Dia berkata, “Pemain kita memang bermain bagus tadi, mereka berjaya mengatasi tekanan kerana kita sangat memerlukan 12 mata. Mereka berjaya lakukannya sekaligus pasukan melonjak ke kedudukan kedua dan layak secara automatik ke separuh akhir selepas ini.
“Memandangkan kita sudah di separuh akhir, jadi saya harap pemain akan mengekalkan semangat berpasukan yang menjadi kunci kemenangan kita selama ini dan terus mempamerkan aksi terbaik seterusnya layak ke final,” ujar Jason selepas perlawanan.
Pada sebelah petang pula KB Petaling Jaya melengkapkan perlawanan pusingan round robin dengan menewaskan KB Serdang 13-5. Bagi jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, dia agak kecewa pasukannya gagal menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas yang akan layak secara automatik peringkat akhir nanti.
Kay Lun berkata, “Kita sebenarnya mengharapkan untuk mengutip 15 mata dalam perlawanan terakhir tadi namun perseorangan wanita gagal bermain baik hari ini. Apapun mereka telah cuba terbaik dan saya harap kita lebih cemerlang di Genting Highlands nanti.
“Kita akan terus menjalani latihan selepas ini sebagai persediaan menghadapi peringkat terakhir Purple League di Genting Highlands dan saya harapkan pasangan beregu dari Korea Selatan yang akan bersama pasukan nanti akan memperkuatkan lagi pasukan KB Petaling Jaya sekaligus mampu menjadi juara,”ujar Kay Lun selepas tamat perlawanan petang tadi.
Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan tengah hari tadi, KB Kepong menamatkan saingan round robin dengan mencatatkan kemenangan 11-7 ke atas KB Klang City. Namun mereka sekadar berada di kedudukan ketujuh sekaligus terkeluar dari saingan untuk memburu kejuaraan.
Selepas tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh. Undian pasukan yang beraksi di peringkat kalah mati akan diadakan hari Rabu ini di Pearl International Hotel, Kuala Lumpur.
No Comments