22 Aug Sukan Asia 2018: Catat Dua Kemenangan Berturut-Turut, Lawan Lebih Mencabar Menanti Malaysian Tigers.
Dua kemenangan berturut-turut yang dicatatkan oleh Malaysian Tigers meletakkan mereka kini di tangga teratas Kumpulan B dalam kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dengan menyaksikan skuad hoki lelaki negara telah menjaringkan 26 gol sementara bolos 2 gol serta mengumpul enam mata.
Terbaru pertemuan dengan Thailand yang menyaksikan Malaysia membenam mereka 10-0 nyata mengembirkan pengendali negara, Stephen van Huizen namun dia melihat cabaran sebenar buat skuad negara telah tiba di mana bakal berdepan dengan tiga pasukan yang lebih kuat, Bangladesh, Pakistan dan Oman.
“Sudah semestinya saya gembira dengan tiga lagi mata yang telah kami raih dan 10 gol yang dijaringkan hari ini tetapi saya tetap melihat ada ruang yang perlu diperbaiki untuk memastikan pasukan dapat beraksi dengan lebih mantap.
“Lawan yang lebih mencabar sedang menanti kami dimana Bangladesh, Pakistan dan Oman adalah pasukan yang bakal memberikan cabaran yang lebih tinggi serta lebih menguji kami.
“Apa yang saya lihat menjelang perlawanan seterusnya kami perlu mengurangkan lagi semua kesilapan yang dikenalpasti selain pemain perlu beraksi di tahap permainan yang lebih tinggi, menggunakan potensi yang mereka ada dan perlu lebih berkeyakinan tinggi.
“Saya yakin Bangladesh akan berusaha keras untuk cuba mengecewakan kami kerana mereka juga ingin mengutip tiga mata di mana kini kami kedua-dua pasukan sedang berkongsi enam mata keseluruhan jadi saya yakin pertemuan yang hebat akan berlaku Jumaat ini,” ujar Stephen ketika dihubungi.
Sementara itu penyerang negara, Muhammad Shahril Saabah menzahirkan rasa syukur apabila berjaya untuk menyumbangkan dua daripada 10 gol yang diledak oleh Malaysian Tigers dan senada dengan pengendali negara di mana ada kekurangan yang boleh terus diperbaiki oleh dirinya serta rakan sepasukan menjelang tiga lagi perlawanan yang akan memberikan cabaran yang lebih tinggi buat skuad hoki negara.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana telah menjaringkan empat gol untuk dua perlawanan yang telah kami lalui bagaimanapun saya merasakan ada penambahbaikan yang boleh terus kami lakukan sebagai satu pasukan dan saya sendiri secara individu perbaiki menjelang perlawanan bertemu Bangladesh dan seterusnya.
“Cabaran utama untuk pertemuan dengan Bangladesh adalah kami bakal beraksi pada jam 12 tengah hari dengan keadaan cuaca yang panas serta bahang tetapi panas bukan satu alasan kerana kami telah melakukan persiapan sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan panas tersebut.
“Apa yang saya harapkan adalah kami sepasukan bakal turun dengan fokus yang lebih tinggi bertemu Bangladesh kerana lawan kami itu antara pasukan yang boleh bermain dengan baik,” tambah Shahril lagi.
Malaysia bakal turun untuk aksi ketiga pada Jumaat, 24 Ogos jam 1 tengah hari waktu Malaysia untuk bertemu Bangladesh.
No Comments