24 Aug Sukan Asia 2018: Fokus Yang Tinggi Bantu Malaysian Tigers Terus Catat Kemenangan
Beraksi jam 12 tengah hari (waktu Indonesia) nyata tidak mendatangkan masalah buat Malaysian Tigers meneruskan momentum kemenangan di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang apabila pemain berjaya mengekalkan fokus yang tinggi untuk membantu mereka memastikan rekod bersih tanpa kalah dikekalkan dan terbaru menewaskan Bangladesh, 7-0 pada aksi yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, hari ini.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia telah menjaringkan 33 gol selain bolos dua dan mengumpul keseluruhan sembilan mata penuh. Semestinya pengendali negara, Stephen van Huizen adalah individu yang gembira dengan persembahan terbaik berjaya ditampilkan oleh skuad bimbingannya walaupun masih terlihat kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan pingat emas Sukan Asia 2018 di bawa pulang ke tanah air.
Stephen turut memuji pemain-pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi selain berjaya kekal fokus sepanjang perlawanan bagi memastikan rentak kemenangan berjaya dikekalkan walaupun dilihat agak bergelut untuk meledak gol pada suku pertama.
“Pemain sangat-sangat fokus dan mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlawanan walaupun ketika di suku pertama mereka sedikit bergelut untuk menjaringkan gol.
“Tetapi apabila mereka mempunyai peluang, mereka menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk mencipta jaringan dan semestinya saya gembira dengan persembahan pemain hari ini selain keputusan ini juga menunjukkan kami kini hanya selangkah untuk ke separuh akhir.
“Pertemuan dengan Paksitan begitu penting untuk kami kerana kami memerlukan seri untuk memastikan slot ke separuh akhir tetapi perlu diingat kami dan Pakistan mempunyai satu misi yang sama iaitu mengesahkan tempat di separuh akhir selain pastinya mahu mencari kemenangan.
“Jika pertemuan dengan Pakistan berkesudahan dengan seri, pastinya perbezaan jaringan akan menetukan siapa yang bakal muncul selaku juara kumpulan B.
“Tetapi sekiranya tewas, kami perlu menunggu sehingga perlawanan akhir untuk mengesahkan tempat di separuh akhir,” jelas Stephen.
Sementara itu Kapten Negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib
“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain termasuk diri saya sendiri kerana kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dengan baik untuk memastikan tiga mata terus kami perolehi selain menjaringkan gol yang agak besar juga.
“Kami masih kekal dengan sasaran utama kami untuk menang dan kalau boleh kami mahu tewakan Paksitan untuk muncul juara kumpulan B agar kami dapat elak daripada bertemua juara kumpulan A yang mungkin akan menjadi milik India di separuh akhir.
“Tetapi pertemuan dengan Pakistan bagi saya akan menjadi 50-50 kerana kami sedia maklum Pakistan juga satu pasukan yang kuat.
“Bagaimanapun kami akan bermain bermati-matian bagi memastikan sasaran utama kami tercapai,” ujar Sukri.
Malaysia akan turun bertemu Pakistan untuk perlawanan keempat Kumpulan B pada Ahad 26 Ogos jam 9 malam waktu Malaysia.
No Comments