Sukan Asia 2018: Malaysian Tigers Terima Kekalahan, Tekad Baiki Kelemahan

Skuad hoki lelaki negara menerima kekalahan 1-4 kepada Pakistan dalam aksi keempat Kumpulan B dan sekaligus meletakkan mereka kini di kedudukan kedua kumpulan dan jika kedudukan tersebut terus kekal, Malaysia berkemungkinan besar akan bertemu India di aksi separuh akhir.

Pengendali negara, Stephen van Huizen menjelaskan mereka lebih awal telah menjangkakan perlawanan sengit akan berlangsung selain melihat beberapa perkara telah merubah keseluruhan perlawanan termasuk layangan kad kepada dua pemain negara dalam masa yang sama dan juga jaringan kedua Malaysia yang tidak diiktiraf pengadil perlawanan.

“Secara keseluruhannya kami kecewa tewas hari ini dan kami sememangnya telah menjagkakan perlawanan hari ini bukan mudah dan sekiranya kami berjaya mendapatkan keputusan seri sekalipun, kami memerlukan jaringan yang lebih tinggi pada perlawanan terakhir kumpulan untuk mengatasi Pakistan.

“Saya rasa segalanya mula berubah apabila dua pemain dilayangkan kad dan Pakistan menggunakan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol kedua yang sememangnya mendatangkan kesukaran buat kami.

“Jaringan kedua kami juga dibatalkan apabila Fitri Saari melakukan hantaran yang dikatakan tidak melebihi lima meter seperti syarat yang ditetapkan untuk mengambil pukulan tersebut dan juga percubaan Meor Azuan Hassan yang terkena palang.

“Jadi saya melihat ini antara faktor penting yang merubah keseluruhan perlawanan tetapi kami terima kenyataan kekalahan ini dan perlu dijadikan sebagai pengajaran buat kami,” jelasnya ketika dihubungi.

Stephen juga turut mengulas mengenai pertemuan terakhir dalam kumpulan B dengan Oman yang akan dimanafaatkan dengan sebaiknya sebagai persediaan menuju ke separuh akhir di mana Malaysia kemungkinan besar akan bertemu India dan Malaysian Tigers akan melakukan sehabis baik untuk memberikan tentangan kepada pasukan pilihan kejohanan, India.

“Apa yang penting kami perlu menggunakan pertemuan dengan Oman sebagai persediaan terbaik dan menamatkan perlawanan dengan sebaiknya agar boleh digunakan untuk kami berhadapan dengan pasukan di separuh akhir nanti iaitu besar kemungkinan India.

“Kami akan bermain bermati-matian di separuh akhir nanti kerana ia menawarkan dua peluang untuk kami di mana jika kami beraksi dengan cemerlang kami akan mara ke perlawanan akhir tetapi jika sebaliknya kami akan cuba bangkit untuk merebut pingat gangsa.

“Kami telah melakukan sehabis baik untuk ke separuh akhir dan kami akan cuba untuk melakukan apa sahaja untuk memberikan tentangan kepada pasukan pilihan iaitu India,” tambahnya.

Malaysian Tigers akan turun untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan B bertemu Oman pada Selasa, 28 Ogos jam 3 petang waktu Malaysia.

No Comments

Post A Comment