20 Aug Sukan Asia 2018: Stephen Puas Hati Lapan Pemain Jaringkan Gol
Pengendali skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen nyata berpuas hati dengan persembahan yang telah ditampilkan oleh skuad kendaliannya selepas membelasah Kazakhstan 16-2 dalam aksi pertama kumpulan B, Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, hari ini.
Kepuasan tersebut ditambah apabila lapan pemain berjaya meledak gol untuk aksi pertama di mana Muhammad Razie Abd Rahim muncul penjaring terbanyak dengan lima gol diikuti Faizal Saari tiga gol, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Shahril Saabah masing-masing menjaringkan dua gol sementara Faiz Helmi Jali, Meor Muhamad Azuan Hassan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, juga Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyumbang satu gol.
“Semestinya saya berpuas hati dengan persembahan yang telah dipamerkan oleh pemain di mana kemenangan 16-2 telah dicatatkan hari ini. Bagaimanapun masih ada kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya gembira apabila ramai pemain berjaya untuk menjaringkan gol hari ini seperti Faizal Saari, Faiz Helmi , Razie Rahim, Nik Aiman , Shahril Saabah, Meor Azuan Hassan, Syed Syafiq Syed Cholan, juga Tengku Ahmad Tajuddin dan saya melihat ia boleh menjadi suntikan semangat kepada pemain itu sendiri apabila mendapat sentuhan jaringan,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.
Ketika ditanya mengenai lawan kedua yang bakal mereka hadapai pada Rabu ini iaitu Thailand, jelas Stephen dia tidak mahu pemain mengambil mudah pertemuan tersebut.
“Rekod terakhir bertemu Thailand kami tewaskan mereka 6-0 ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur dan saya mahu pemain memandang serius perlawanan tersebut selain jangan memandang mudah kepada pasukan lawan.
“Selepas dua perlawanan ini nanti, perlawanan yang lebih mencabar akan tiba dimana kami akan bertemu Bangladesh, Pakistan dan Oman.
“Saya mahu pemain mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan selain menggurangkan kesilapan kerana apabila turun beraksi pada perlawanan yang lebih sukar, mereka telah bersedia sepenuhnya dan boleh berikan saingan yang terbaik,” tambah Stephen lagi.
Sementara itu, Razie Rahim yang muncul penjaring terbanyak untuk aksi pertama dengan meledak lima gol pukulan sudut penalti tidak menjangka akan menjaringkan lima gol selain meluahkan rasa puas hati dengan pukulan sudut penalti yang ditampilkan oleh skuad negara hari ini.
“Saya langsung tidak menjangka akan menjaringkan lima gol dalam perlawanan pertama dan saya sangat gembira apabila kami keempat-empat fliker (Faizal Saari, Shahril Saabah dan Syed Syafiq) menjaringkan gol hari ini.
“Apabila kami berempat meledak gol ia satu petanda positif yang kami telah mendapat keserasian dengan padang di sini.
Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan pukulan sudut penalti kami hari ini kerana kami sememangnya memeberikan fokus seratus peratus apabila mendapat peluang menerusi pukulan sudut penalti,” ujar Razie.
Malaysian Tigers akan turun untuk aksi kedua berdepan Thailad pada Rabu 22 Ogos jam 5 petang waktu Malaysia.
No Comments