Sukan Asia 2018: Stephen Puji Usaha Keras Pemain Heret India Ke Penentuan Shoot-Out

Kejayaan Malaysian Tigers mengheret India ke penentuan shoot-out apabila berjaya mengikat perlawanan sebenar dengan keputusan 2-2 pada aksi separuh akhir Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno hari ini mendapat pujian pengendali mereka Stephen van Huizen.

Stephen nyata berpuas hati dengan usaha keras selain semangat juang tinggi yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya sehingga mereka mampu mengejutkan pasukan yang berada di ranking kelima dunia itu dengan kemenangan 7-6 pada aksi penentuan shoot-out.

“Kami berusaha keras untuk mendapatkan hasil yang kami perolehi hari ini dan kami sangat gembira kerana dapat mengheret India hingga ke penentuan shoot-out kerana kami hampir-hampir tewas dalam perlawanan tersebut.

“Pemain telah berusaha dengan begitu baik sekali jadi saya berasa mereka layak untuk diberikan pujian dan mendapat rehat seketika tetapi saya sedar yang kami perlu kembali fokus untuk satu lagi perlawanan yang akan datang selain kami perlu memastikan rehat sehari yang dimiliki digunakan dengan sebaiknya untuk sesi pemulihan pemain dan bersedia untuk aksi final.

“Selepas lapan tahun, kami melangkah ke final sekali lagi tetapi kali ini saya akan pastikan kami tidak mengulangi kesilapan yang sama iaitu terlalu meraikan kejayaan melangkah ke final dan apa yang saya lihat pemain kekal tenang selain sedar mereka mempunyai satu lagi perlawanan penting yang perlu dihadapi,” ujar Stephen.

Dalam pada itu penjaring gol yang mengikat India, 2-2, Muhammad Razie Abdul Rahim bersyukur kerana pukulan sudut penalti yang terakhir dimiliki mereka ketika perlawanan berbaki lebih kurang seminit berjaya disudahkan olehnya dengan cemerlang dan melihat kejayaan mereka melangkah ke final adalah berpunca daripada usaha keras mereka sepasukan.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat menjaringkan gol yang mengikat India kerana ketika jaringan itu dilakukan masa yang tinggal lebih kurang seminit sahaja jadi pukulan sudut penalti tersebut sangat-sangat penting untuk kami mengheret mereka ke penentuan shoot-out.

“Ketika mengambil pukulan sudut penalti terakhir apa yang saya fikirkan adalah untuk melakukan flik terus di bahagian tengah kerana saya berfikir sekiranya flik yang saya lakukan tidak masuk bola tersebut mungkin akan melantun semula untuk pemain melakukan pukulan susulan.

“Kejayaan ini adalah kejayaan kami sepasukan dan apa yang terhasil hari ini berpunca daripada usaha kami sepasukan. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami dan kami melangkah ke final,” jelas Razie.

Malaysia akan turun pada aksi final Sabtu ini jam 9 malam waktu Malaysia untuk melakukan perhitungan terakhir bertemu Jepun yang menewaskan Pakistan 1-0 pada satu lagi aksi separuh akhir dan pertaruhan pada aksi final itu bukan pingat emas semata-mata tetapi sebaliknya tiket untuk ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo Jepun.

 

No Comments

Post A Comment