11 Oct Sukan Olimpik Remaja 2018: Malaysia Tewas Aksi Keempat
Perlawanan keempat saingan Kumpulan A, Sukan Olimpik Remaja 2018 Buenos Aires yang berlangsung jam 4.00 pagi tadi (waktu Malaysia) memperlihatkan skuad muda negara terpaksa akur rekod tanpa kalah mereka tercalar selepas tewas 2-4 kepada tuan rumah, Argentina pada aksi yang berlangsung di Taman Olimpik Argentina.
Selepas tamat empat perlawanan Malaysia berjaya mengesahkan tempat mereka di peringkat suku akhir walaupun masih berbaki satu perlawanan yang akan berlangsung malam ini dan Malaysia kini berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata, meledak 27 gol dan bolos lapan.
Pertemuan dengan Argentina awal pagi tadi menyaksikan anak-anak buah Wallace Tan membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit keempat hasil jaringan Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan untuk mendapatkan jaringan tetapi Argentina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ketujuh menerusi Facundo Sarto.
Malaysia berjaya untuk kembali berada di hadapan apabila berselang seminit kemudian, Muhammad Arif Syafie Ishak menjaringkan gol kedua pasukan negara tetapi beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, Facundo Zarate membantu Argentina untuk kembali mengikat pasukan negara.
Bersambung separuh masa kedua, giliran Argentina untuk berada di hadapan apabila Facundo Sarto menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-14 dan berselang empat minit kemudian, dia sekali lagi meledak gol yang juga merupakan jaringan hatrik untuk perlawanan tersebut.
Walaupun skuad muda negara berusaha untuk terus bangkit mengejar Argentina tetapi usaha mereka tidak berjaya dan kedudukan 2-4 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan ia merupakan kekalahan pertama skuad negara.
Malaysia akan melengkapkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan jam 9.15 malam ini (waktu Malaysia) untuk bertemu Poland dan menanti siapakah lawan mereka di pusingan suku akhir.
No Comments